Friday 6 May 2011

Pegawai JHEAINS didakwa rasuah

 

Pembantu Hal Ehwal Agama bebas tuduhan rasuah

PULAU PINANG 1 Nov. – Kehadiran Syawal kali ini menjadi lebih bermakna buat seorang Pembantu Hal Ehwal Agama Islam Balik Pulau di sini, Ahmadi Yahaya, apabila Mahkamah Tinggi hari ini membebaskannya daripada tuduhan menerima rasuah, tiga tahun lalu.
Hakim Datuk Abd. Rahim Uda memutuskan demikian selepas mendapati Hakim Mahkamah Sesyen gagal mempertimbangkan percakapan beramaran perayu, Ahmadi, 34, yang diberikan selepas ditahan oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) sewaktu membuat keputusan pada akhir perbicaraan kes tersebut.
‘‘Ia bukan satu perkara teknikal tetapi kegagalan hakim untuk mempertimbangkan percakapan amaran perayu selepas ditahan oleh BPR menampakkan satu ketidakadilan,” katanya sewaktu menyampaikan keputusannya.
Hakim Abd. Rahim turut mengarahkan supaya hukuman penjara dibatalkan manakala denda dan penalti yang telah dibayar oleh Ahmadi berjumlah RM11,000 dipulangkan semula termasuk wang jaminan.
Ahmadi dilihat menyapu mukanya sambil mengucap syukur selepas mendengar keputusan tersebut.
Perayu diwakili peguam bela, R.S.N. Rayer manakala Timbalan Pendakwa Raya, Farah Azlina Latif mewakili BPR.
Pada 1 Mac lalu, Hakim Hadriah Syed Ismail memutuskan bahawa Ahmadi didapati bersalah atas pertuduhan menerima wang suapan berjumlah RM1,000 daripada seorang lelaki yang sedang disiasat kerana disyaki melakukan khalwat bersama pasangannya sebagai dorongan agar tidak dikenakan tindakan undang-undang.
Hadriah menjatuhkan hukuman denda RM10,000 dan penjara 14 hari. Bagaimanapun, hakim itu membenarkan perlaksanaan hukuman penjara terhadap Ahmadi ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuannya.
Ahmadi didapati bersalah menerima suapan tersebut daripada Mohd. Fairus Ismail, kira-kira pukul 3.30 petang, 13 Disember 2004 di Jabatan Agama Islam Balik Pulau di sini.
Pertuduhan ke atasnya dibuat mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana satu yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

  Pegawai JHEAINS didakwa rasuah

TAWAU 3 Jan. – Seorang pembantu penyiasat, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Cawangan Kota Kinabalu didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari
ini atas tuduhan menerima suapan RM2,500 bagi membantu menyelesaikan satu kes khalwat.
Tertuduh, Asmuni Ali, 36, dituduh menerima suapan itu dalam dua kejadian berasingan iaitu antara Julai hingga Ogos 2006 dan 20 Mac 2007 di Jalan Anggerik, Sabindo, Tawau.
Asmuni yang pada masa kejadian bertugas di JHEAINS Cawangan Tawau dan didakwa di bawah Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 mengaku tidak bersalah di atas kedua-dua tuduhan tersebut.
Mengikut pertuduhan, pembantu penyiasat itu kira-kira pukul 9 malam antara Julai dan Ogos 2006 dituduh meminta suapan RM2,000 bagi membantu menyelesaikan kes khalwat yang dihadapi Mohd. Ghazali Lakode.
Sementara bagi kes kedua, Asmuni pada kira-kira pukul 7.30 malam, 20 Mac 2007 di dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda menerima suapan RM500 daripada lelaki yang sama bagi membantu penyelesaikan kes khalwat yang dihadapinya.
Hakim Eguara Ali yang membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin menetapkan perbicaraan mulai 25 Mac depan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Joyoe Blasius daripada Bahagian Pendakwaan, Ibu Pejabat Badan Pencegah Rasuah, Putrajaya.

Isteri orang jadi idaman suami




Isteri orang jadi idaman suami

“BILA sendirian, saya sering termenung memikirkan apalah nasib saya jadi begini, hidup saya tak pernah aman macam wanita lain. Fikiran saya sentiasa terganggu dengan sikap dan perbuatan suami saya yang amat memalukan, bukan sahaja kepada saudara-mara, ibu dan adik-beradik tetapi dengan jiran tetangga.
‘‘Dari mula kahwin sampai sekarang, suami saya sentiasa buat hal. Kini sudah 18 tahun kami berumah tangga anak pun dah ada lima. Tetapi suami saya Kamal tak pernah termimpi untuk berubah kepada kebaikan, sebaliknya terus melakukan perbuatan yang tak baik, bukan setakat menjatuhkan maruah keluarga tetapi melakukan maksiat hingga mengaibkan anak isteri,’’ demikian cerita Maizurah ketika kami bertemu minggu lalu.
Sebelum itu, Maizurah beberapa kali menghubungi penulis melalui telefon. Katanya, dia tak ada komputer apa lagi e-mel untuk meluahkan isi hatinya. Nak tulis surat tak pandai karang, jadi lebih baik ambil cuti boleh bersua muka. Apa yang penting dia boleh menceritakan isi hatinya dari A sampai Z. Itu katanya ketika kami bertemu.
Katanya, sepanjang mengikuti kisah-kisah yang dipaparkan dalam DCCK (Di celah-celah kehidupan), dia tak pernah terbaca kisah seperti suaminya. Mungkin ada tetapi mungkin sudah bercerai. Mungkin juga si suami dah bertaubat.
‘‘Berbeza dengan suami saya Kamal sejak muda sampailah sekarang tak pernah mahu berubah sentiasa suka bercinta. Biasanya bila kisahnya terbongkar, apabila orang dapat tahu termasuk saya dapat tangkap aktivitinya, dia akan minta maaf, minta ampun tak buat lagi. Kemudian baiklah dia seketika.
‘‘Tapi tak lama, lepas setahun dia buat hal lagi, siapa boleh tahan. Bila kita tanya dia tak mengaku hinggalah ada orang terjumpa dan tangkap dia lagi barulah mengaku dan minta ampun, konon dah insaf. Itulah taktik lapuk tahun demi tahun. Seingat saya bukan sekali dua, tapi lebih 10 kali dia buat hal bercinta dengan perempuan lain yang semuanya adalah isteri orang. Dia tak pilih cantik atau tidak, tua atau muda, asalkan wanita itu layan pujukannya, semua jadi.
‘‘Apa yang amat menyedihkan biasanya bila skandal mereka dah terbongkar wanita itu tentulah kena cerai. Puncanya kerana Kamal dah berjanji akan berkahwin dengan dia. Malang bagi wanita itu, bila dah kena tangkap dan bercerai-berai, Kamal tak akan kahwin dengan dia, katanya dia tak pernah berjanji nak kahwin, dia kata, masih sayangkan keluarganya dan macam-macam lagi alasannya.
‘‘Sebagai contoh ada satu kes Kamal bercinta dengan isteri orang, waktu itu Kamal masih muda, sedangkan isteri orang yang dicintainya itu lebih tua darinya. Tapi dia tetap melayan isteri orang itu. Kini setelah berusia lebih 40 tahun, isteri orang yang dicintainya ada juga yang sebaya dan ada juga lebih muda.
‘‘Saya beritahu Kamal, bercinta dengan isteri orang itu berdosa besar dengan suaminya. Tapi dia tak pernah mengaku bercinta, katanya, buat baik dengan orang salah ke? Tapi kenapa dengan perempuan aja? Lebih menyedihkan dia suka bercinta dengan saudara-mara saya sendiri. Tetapi dia nafikan. Konon nak tolong tapi mengapa dia harus mengulang rumah perempuan itu bila suaminya tak ada di rumah, dan mengajaknya keluar makan malam? Perempuan tu pula kerana cinta sanggup tinggalkan anak-anak kecil di rumah. Saya tak mahu bersubahat dengan maksiat Kamal. Saya nasihatkan dia tapi tak jalan, dia tak pernah mengaku, selalu menafikan.
‘‘Kira-kira empat tahun lalu saya sendiri tangkap dia berasmara dana dengan adik ipar saya. Mana muka saya nak letak bila adik saya bergaduh besar dengan Kamal kerana mengganggu isterinya.
‘‘Mulanya saya pun tak percaya Kamal sanggup buat kerja maksiat itu, tapi adalah seorang dua jiran nampak mereka keluar berjalan-jalan, shopping ke kompleks beli-
belah. Kamal pernah datang ke rumahnya waktu malam. Dia fikir orang tak nampak terutama di tempat orang ramai. Tapi dia silap. Bila jiran beritahu, saya pun tanya dia, macam biasalah dia menafikan, sebaliknya dia marahkan saya konon suka dengar fitnah orang yang suka tengok kami bercerai-
berai.
‘‘Saya tanya adik ipar saya secara jujur kerana dia duduk dekat rumah kami, dia pun menafikan. Saya suruh adik saya tanya pula, sebab ini bukan pertama kali Kamal bercinta dengan saudara-mara perempuan saudara-mara jauh kami.
‘‘Adik saya pula marahkan saya katanya jangan nak fitnah isterinya. Katanya, isterinya tak akan buat kerja terkutuk macam tu. Saya kata kalau tidak buat, tak apa kita cuma mahu mengingatkan supaya pisang tak berbuah dua kali.
‘‘Dalam pada itu saya terus menyiasat, walaupun sibuk dengan tugas di pejabat dan di rumah, saya masih boleh mengintip aktiviti Kamal. Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh juga ke bumi. Setelah menjalankan intipan demi intipan rupa-
rupanya Kamal sering mengambil dia balik kerja waktu malam. Adik lelaki saya bila balik kerja terus ke rumah kami ambil anak-anak yang ditinggalkan kerana dijaga emak saya.
‘‘Dia tak perlu ambil isterinya sebab isterinya tumpang kereta kawan kerana mereka tinggal berdekatan. Tapi dia tak balik dengan kawan, Kamal yang ambil dan balik malam hari konon kerja overtime, sebenarnya mereka berasmara dana dulu, sebelum hantar dia balik di simpang jalan tak jauh dari rumah kami.
‘‘Bila adik saya kerja luar, Kamal masuk rumah ipar saya pukul 2 atau 3 pagi baru balik alasannya kerja banyak atau minum teh dengan kawan di warung 24 jam. Tapi dia tak tahu saya sudah intip aktivitinya.
‘‘Satu hari kerana tak tahan sabar, saya sendiri perangkap mereka sedang berasmara dana di dalam rumah. Kisah percintaan mereka berakhir bila masing-masing dihadapkan ke mahkamah syariah. Kamal ceraikan saya. Saya tak kisah daripada bersubahat biarlah bercerai.
‘‘Tapi belum habis idah, Kamal mula merengek, memujuk dan merayu, sambil memohon ampun dan maaf serta berjanji tidak buat lagi. Konon dah insaf, malu pada anak-
anak. Macam biasa saya percayakan janji palsunya. Kerana sebagai seorang suami dan ayah Kamal memang baik dan penyayang. Dia minta saya buka buku baru, lupakan yang lepas, apa yang penting masa depan anak-anak. Masa dia buat hal tu dia tak ingat pula anak-anak. Dan dia sanggup pulak ceraikan saya!
‘‘Tapi kerana anak-anak juga saya sanggup dirujuk semula. Lepas peristiwa itu, adik saya bawa keluarganya pindah ke tempat lain. Mungkin dia tak boleh tengok muka Kamal lagi. Adik saya juga seorang yang baik cepat memaafkan bila isterinya minta ampun. Mungkin ini pengorbanannya demi anak-anak.
‘‘Taubat Kamal bertahan setahun saja, lepas tu dia buat hal lagi kali ini dengan isteri orang di pejabatnya. Puncanya wanita ini suka mengadu hal dan nak minta nasihat tentang masalah rumah tangganya. Katanya, suaminya ada perempuan lain, dan tak bagi duit untuk makan minum anak-anak. Sekali lagi Kamal sangkut. Tapi tak lama, tak sampai setahun suami perempuan itu cepat sedar dan Kamal terpaksa memutuskan hubungan yang semakin intim itu.
‘‘Kisah terbaru awal tahun ini Kamal bercinta lagi dengan isteri orang, Joyah namanya. Joyah mengadu konon suaminya tak bertanggungjawab, tak bagi nafkah anak-anak, semua urusan rumah dia yang tanggung sendiri, nafkah zahir batin juga diabaikan. Kisah Joyah konon dapat suami tak bertanggungjawab ini satu pejabat tahu. Dia sendiri menjaja ceritanya. Di sini Kamal masuk jarum. Kebetulan waktu itu kami bertiga (Kamal, saya dan Joyah) satu pejabat tapi berlainan unit. Tetapi kemudiannya Kamal berhenti kerana kononnya dapat kerja tempat lain dengan gaji lebih baik. Namun sebenarnya dia tak suka saya tahu aktivitinya terbongkar.
‘‘Satu lagi perangai Kamal yang menyusahkan hati saya, dia suka lompat kerja. Sebab ada kalanya dia tersalah lompat, mengharapkan dapat gaji lebih baik, akhirnya syarikat gulung tikar, terpaksalah menganggur beberapa bulan sebelum dapat kerja baru. Semasa mengganggur dialah suami paling baik. Bila dapat kerja lagi, perangainya berubah.
‘‘Kes dia bercinta dengan Joyah memang teruk. Satu pejabat meletup. Saya dapat tahu dah lewat, kerana fikirkan Kamal dah baik, sementara si Joyah setahu saya mabuk bercinta dengan bosnya, bukan Islam. Rupa-rupanya suami Joyah tahu dia buat hal dengan bosnya, lepas tu dengan Kamal. Dia tambah marah dan tinggalkan rumah pertengahan tahun ini. Bila saya jumpa suami Joyah minta supaya dia nasihatkan Joyah, dia kata tak mahu campur sebab dia dah tinggalkan Joyah, mereka dalam proses perceraian.
‘‘Siapa boleh sabar bila isteri buat hal dengan orang bukan Islam kerana kejarkan kenaikan gaji dan kerja lebih senang. Satu pejabat tahu skandal mereka. Agaknya kerana malu dia pikat Kamal. Kamal yang mudah tergoda bersedia jadi pak sanggup pada bila-bila masa.
‘‘Bila saya nasihatkan Kamal supaya insaf, dia jadi lagi hot marahkan saya kerana suka dengar fitnah. Tetapi siapa boleh tutup bangkai gajah dengan nyiru. Akhirnya Kamal dan Joyah ditangkap berkhalwat di rumah sewa Joyah pada bulan Syawal baru-baru ini. Penduduk tempatan satu taman yang tangkap. Mereka dibebaskan dengan ikat jamin.
‘‘Waktu itu Joyah dalam idah. Dan mungkin kerana malu, Joyah paksa Kamal ceraikan saya supaya mereka boleh kahwin. Kamal ceraikan saya untuk kali kedua melalui SMS. Nak jadikan cerita mereka lebih teruk lagi, baru-baru ini, sekali lagi mereka kena tangkap khalwat oleh JAIS. Peristiwa itu membuatkan mereka berpindah ke tempat lain.
‘‘Baru-baru ini saya ke mahkamah syariah untuk mengesahkan kedudukan saya, tetapi kes saya tertunda sebab perceraian pertama tak selesai, walaupun dah rujuk semula, tetapi Kamal tak buat report. Kini saya terpaksa tunggu tahun depan untuk mengesahkan kedudukan saya. Tapi yang pasti selagi kes saya dan Kamal tak selesai, selagi itulah mereka tak dapat nikah. Mereka juga terpaksa menghadapi dua kes khalwat.
‘‘Sebenarnya saya malu dengan perbuatan Kamal. Cukup mengaibkan pada anak-
anak yang sudah besar khususnya perempuan. Saya bimbang keadaan ini boleh mengganggu hidup mereka bila berkahwin nanti,’’ demikian cerita Maizurah. Saya mengagumi kesabarannya.
Masih ada wanita setabah dia, menyaksikan sendiri perbuatan suami yang terkutuk dan masih boleh menerimanya semula hanya dengan meminta maaf dan ampun. Benar kata pepatah orang tua-tua ‘‘Kerak nasi kalau direndam akan lembut juga.’’ Agaknya sebab itulah si suami masih berani mempersendakan kesabarannya. Inilah balasannya apabila diri sendiri tidak ada ketegasan.
- MAIMUNAH
www.dcckmona.com
dcckmonaum@hotmail.com

Keliru istilah khalwat

Keliru istilah khalwat

Bersama: DR. AMRAN KASIMIN
SOALAN: Terminologi “khalwat” telah diselewengkan daripada definasi asal, lalu akhirnya menjadi satu istilah yang boleh dikatakan mengaibkan. Istilah ini akhirnya lebih lebih difahami daripada terma yang asal, iaitu satu keadaan menyendiri, bertafakur kerana kebesaran, kekuasaan dan kewujudan Allah Yang Maha Esa.

Saya berkeyakinan bahawa membesar-besarkan kes-kes khalwat di dada akhbar, lebih-lebih lagi yang melibatkan orang yang ternama tidak banyak menyumbang dalam usaha menyekat perbuatan berkhalwat, tetapi ia lebih merupakan seumpama memerah limau di garisan luka.
– Man, Kajang.


Jawapan: Fenomena yang berlaku sekarang ini memperkukuh apa yang saudara jelaskan di atas. Istilah “berkhalwat” atau “khalwat” yang merujuk kepada pasangan lelaki perempuan yang berada di tempat sunyi berdua-duaan, manakala maksud yang asal, tidak banyak difahami.
Perkataan “khalwat” ialah perkataan pinjaman daripada bahasa Arab “khalwah, kata nama infinitif khala, yakhlu secara literal menunjukkan mahu menyendiri. Sebagai istilah Islam, ia menunjukkan kesunyian untuk bertafakur terhadap Allah dan supaya mengingati-Nya setiap masa dengan menyebut nama Allah di dalam hati, fikiran atau secara lisan.
Di kalangan orang Melayu ia merangkumi makna lain iaitu pengasingan pasangan lelaki dan wanita yang akil baligh yang harus berkahwin di tempat yang terpencil. Pemahaman terhadap makna yang terakhir lebih difahami apa lagi sekiranya ia melibatkan pasangan lelaki perempuan yang bukan muhrim.
Amalan berkhalwat ditegah oleh Islam. Ia merupakan salah satu faktor yang menghela berlakunya perzinaan yang diistilahkan sebagai “wasitah” (perlakuan yang menyebabkan berlakunya sesuatu) menurut usul fikah.
Menurut Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Johor (Enakmen No. 14 Tahun 1978):152. (1) Mana-mana orang Islam yang didapati bersekediaman atau bersekedudukkan atau berkurung atau bersembunyi atau bercumbu-cumbuan di mana-mana tempat yang mendatangkan syak dengan seorang yang bukan muhrimnya adalah melakukan kesalahan khalwat dan jika sabit kesalahannya boleh dihukum dengan denda tidak lebih daripada RM1,000 atau penjara tidak lebih daripada enam bulan atau kedua-duanya sekali.
(2) Barang siapa lelaki Islam yang bersekedudukkan sebagai suami isteri dengan mana-mana perempuan yang tidak harus nikah dengannya mengikut hukum syarak atau didapati bersekediaman dan bersekedudukkan yang mendatangkan syak dengan perempuan itu adalah melakukan kesalahan dan apabila sabit kesalahannya hendaklah dihukum dan hukuman yang sama seperti disebut di bawah seksyen kecil (1) seksyen ini.
(3) Mahkamah boleh memerintahkan bahawa seorang perempuan yang telah didapati bersalah atas satu kesalahan menurut seksyen ini hendaklah dihantar kepada mana-mana rumah kebajikan yang disediakan oleh kerajaan bagi tempoh tidak lebih dari enam bulan bagaimana yang difikirkan patut oleh mahkamah.
Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor No. 3 Tahun 1952 memperuntukkan hukuman yang sama bagi mereka yang sabit melakukan kesalahan berkhalwat seperti yang diperuntukkan oleh Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Johor. 14. Tahun 1978. Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 157 (1) menyebutkan:
Siapa-siapa orang Perempuan Islam bersubahat di atas kesalahan pecahan satu (1) di dalam fasal ini hendaklah diseksa dengan penjara kerja ringan tidak lebih daripada tiga bulan atau denda tiada lebih RM500 dan jika didapati di atas kesalahan kedua dan lain lagi lepas daripada itu yang serupa hendaklah di penjara tidak lebih daripada enam bulan atau didenda tidak lebih daripada RM1,000 atau kedua-dua sekali.
Kebanyakan orang Melayu, terutama pihak ibu bapa sekiranya anak-anak mereka terutamanya anak perempuan ditangkap kerana berkhalwat, dia dianggap telah memalukan seluruh keluarga terutama ibu bapanya.
Dalam kebanyakan hal si lelaki selalunya diperalatkan. Untuk memulihkan kembali kehormatan keluarga dan untuk menembus dosanya, si lelaki kadang-kadang dipaksa atau diugut jika dia menolak untuk mengahwini perempuan tadi.
Jika lelaki itu bersetuju, biasanya majlis perkahwinan akan diadakan tanpa adat dan upacara yang biasa dilakukan, kecuali bayaran mas kahwin sebelum akad nikah di majlis ini berakhir dengan kenduri yang dihadiri oleh beberapa tetamu. Menurut sesetengah pegawai yang terlibat dengan hal-hal seumpama ini, sesuatu perkahwinan hasil daripada peristiwa ini tidak digalakkan, biarpun perempuan itu hamil atas alasan tertentu iaitu:
a. Perkahwinan itu biasanya tidak kekal.
b. Untuk mengelakkan seorang bujang mengahwini gadis melalui tangkapan berkhalwat.
c. Untuk mengelakkan lelaki yang sudah berkahwin, berkahwin dengan perempuan lain melalui proses ini yang dirancangkan.
Walaupun demikian, mahkamah syariah bersedia mengahwinkan mana-mana lelaki dengan perempuan jika mereka ditangkap dan kes ini dibawa ke mahkamah asalkan syarat dan keperluan dipenuhi.
Di Semenanjung Tanah Melayu, istilah “tangkap basah” begitu popular di kalangan orang Islam walaupun peristiwa itu dikata jarang berlaku. Di setiap pejabat agama di Malaysia terdapat pegawai agama yang dinamakan Inspektor Agama atau yang seumpamanya, yang bertanggungjawab mengendalikan hal-hal yang berkaitan dengan tangkapan ini. Dengan bantuan pegawai polis dan mereka yang diberi kuasa, mereka akan menggeledah hotel, rumah urut, rumah rehat, sarang pelacuran dan rumah-rumah persendirian jika mereka menerima sebarang maklumat daripada orang awam. Istilah “tangkap basah” selalunya tidak merujuk kepada mereka yang ditangkap dengan pelacur.
Walaupun tidak ada bukti rasmi bahawa setengah-setengah orang dengan sengaja merancang untuk ditangkap dengan cara “tangkap basah”, ia boleh dilakukan oleh seorang lelaki untuk mengahwini seseorang perempuan tanpa kebenaran ibu bapa perempuan dengan cara yang sempurna, atau untuk mengelakkan daripada mengeluarkan belanja yang besar.
Ini kerana apabila pasangan itu ditangkap, kebenaran mahu atau tidak mahu diberikan. Bagi lelaki yang sudah berkahwin, ini adalah cara yang membolehkannya berkahwin lain, terutama jika persetujuan (dalam bentuk tulisan atau lisan) daripada isteri pertama diperlukan, kerana biasanya dalam hal ini, isteri pertama terpaksa memberikan kebenaran kepada suaminya berkahwin dengan perempuan lain.
Sebaliknya itu bapa perempuan itu juga membenarkan anak perempuannya itu berkahwin dengan lelaki tersebut terutama jikalau perempuan itu telah hamil. Kedua-dua belah pihak memberikan persetujuan untuk mengelakkan hilangnya kehormatan masing-masing dengan lebih lanjut, Proses poligami kadangkala terjadi cara ini.
Biarpun tidak terdapat bukti secara khusus atau terperinci, adalah dipercayai bahawa pasangan yang berkahwin, yang melibatkan pasangan perempuan yang telah hamil sebelum akad nikah dilakukan, meletakkan nama lelaki yang terlibat sebagai bapa kepada anak yang dilahirkan. Amalan ini adalah bertentangan dengan ajaran Islam. Larangan atau jalan keluar mengatasi masalah anak di luar nikah ini tidak disebut oleh mana-mana enakmen pentadbiran agama Islam di Malaysia.
Saya setuju dengan saudara bahawa membesar-besarkan peristiwa khalwat di dada akhbar bukan sesuatu yang baik atau boleh membantu masyarakat. Allah menyuruh setiap umat Islam itu menutup aurat atau keaiban saudaranya. Membesar-besarkan hal seumpama ini hakikatnya tidak menguntungkan, malah ia menyemarakkan rasa permusuhan atau rasa tidak senang hati pihak yang lain.
- PEMBACA yang ada kemusykilan alamatkanlah soalan kepada:
Dr. Amran Kasimin, Lot 3673, Jalan Aman, Kg. Sungai Merab Luar, 43000 Kajang, Selangor.

JAIM giat kursus tingkat kesedaran

JAIM giat kursus tingkat kesedaran

MELAKA Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) akan mempergiatkan program ceramah dan kursus agama terhadap pasangan Islam yang ditahan kerana melakukan kesalahan syariah.Ketua Penguatkuasa Bahagian Agama JAIM, Rahimin Bani berkata, usaha itu selain untuk memberi kesedaran kepada umat Islam yang ditahan atas kesalahan tersebut, ia juga menekankan soal kesan gejala sosial yang mungkin timbul daripada perbuatan tersebut.
Menurutnya, menerusi usaha itu, pelbagai aspek akan diberi penekanan terutama soal undang-undang syariah kepada mereka yang ditahan kerana melakukan kesalahan syariah.
''Ceramah yang diadakan tidak semata-mata bertujuan untuk memberi tekanan mental kepada umat Islam yang ditahan kerana melakukan kesalahan syariah tetapi hasrat utama JAIM ialah untuk mendidik dan mahu pesalah menginsafi kesalahan yang dilakukan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Selain itu, penganjuran program itu ialah untuk memberi motivasi kepada peserta bagi membolehkan mereka melakukan perubahan ke arah meningkatkan status kehidupan masing- masing kelak.
Katanya, dalam program terbaru anjuran JAIM yang diadakan kelmarin, seramai 110 pasangan Islam yang ditahan dalam beberapa siri operasi khalwat yang dijalankan sepanjang Mei lalu.
Katanya, program tersebut iaitu Kesedaran dan Kefahaman Islam diadakan di pejabat JAIM di Jalan Kee Ann, di sini.
''Selain kefahaman dan motivasi, tujuan kursus itu diadakan ialah untuk memberikan kesedaran kepada para peserta mengenai hak-hak mereka semasa perbicaraan.
''Antara pengisian kursus termasuk nasihat, kaunseling serta ceramah dan Latihan Dalam Kumpulan (LDK)," katanya.
Katanya, antara kesalahan yang dilakukan oleh kebanyakan peserta kursus seperti itu ialah bersekeduduk, berjudi, hamil luar nikah dan perbuatan tidak sopan di khalayak ramai.
Pada masa yang sama, Rahimin menasihatkan remaja Islam supaya tidak melakukan perkara yang dilarang agama kerana ia akan merosakkan diri mereka sendiri.

Awasi anak elak kegiatan maksiat

Awasi anak elak kegiatan maksiat

MELAKA Ibu bapa di negeri ini disaran sentiasa mengambil sikap ingin tahu terhadap anak mereka termasuk mengetahui tempat tinggal mereka untuk mencegah mereka daripada terjebak dalam kegiatan maksiat.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Rahimin Bani berkata, banyak serbuan dilakukan melibatkan remaja lelaki dan perempuan bersekedudukan di hotel-hotel bajet atau di rumah bujang.
"Ada sesetengah ibu bapa yang dipanggil setelah anak mereka ditangkap dan dipercayai berkhalwat memberitahu, mereka tidak tahu di mana anak mereka tinggal.
"Ada juga kes yang pasangan kekasih bersekedudukan untuk tempoh yang lama dan tidak disedari oleh ibu bapa," katanya di sini.
Sehubungan itu, beliau berharap ibu bapa akan lebih prihatin dan memantau kegiatan seharian anak mereka.
Lebih penting katanya, ibu bapa sepatutnya meluangkan sedikit masa pada hujung minggu untuk berkunjung ke rumah sewa anak mereka bagi mengelak perkara buruk daripada berlaku.
Berdasarkan statistik tahun lalu, katanya, kes khalwat merupakan yang tertinggi dicatat iaitu sebanyak 893 kes daripada jumlah keseluruhan kesalahan syariah sebanyak 1,831 kes berbanding 687 kes dalam tempoh yang sama pada 2007.
Antara kesalahan syariah lain yang turut mencatatkan peningkatan ialah kes hamil luar nikah sebanyak 384 kes, bersubahat persetubuhan haram (256) dan judi sebanyak 202 kes.

Pelakon bebas tuduhan khalwat

Pelakon bebas tuduhan khalwat

KUALA LUMPUR 21 April - Pelakon popular, Rashdan Baba hari ini dibebaskan oleh Mahkamah Rendah Syariah, Langkawi daripada tuduhan khalwat, dua tahun lalu.
Rashdan atau nama sebenarnya Muhamad Rashdan Abdul Halim, 38, dibebaskan selepas beliau membuat pengakuan bersumpah tidak melakukan kesalahan tersebut di hadapan Hakim Syarie, Sheikh Baharuddin Che Nen.
Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut bersama seorang rakannya yang juga pelakon popular, Hairie atau nama sebenarnya, Khairi Othman, 36, pada pukul 6.50 pagi, 9 September 2006 di bilik No. 105, Hotel Malaysia, di Langkawi.
Rashdan yang tidak diwakili peguam mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan manakala Hairie yang mengaku salah telah didenda RM900 atau penjara lima bulan.
Dua wanita, Norelia Pirdaus dan Azlina Padzill, masing-masing berusia 26 tahun yang didakwa melakukan kesalahan tersebut bersama pelakon-pelakon tersebut turut mengaku bersalah.
Mereka berdua turut didenda RM900 seorang atau penjara enam bulan.
Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa dari Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Kedah, Sheikh Zainul Mukhtar Abdullah Sirajuddin

Tuduhan khalwat ustazah ditarik balik

Tuduhan khalwat ustazah ditarik balik

KUALA LUMPUR 6 Jan. - Pihak pendakwa syarie hari ini menarik balik pertuduhan khalwat yang dikenakan terhadap seorang ustazah dan pasangannya, ketua jabatan di sebuah institut latihan pendidikan terkenal setelah berpuas hati mereka tidak terbabit dengan perbuatan tidak bermoral.
Jamilah Ab. Aziz, 39, dan Mohd. Dawi Ithnin, 51, yang juga seorang pensyarah bagaimanapun diberi amaran keras supaya tidak mengulangi perbuatan itu pada masa hadapan.
Pendakwa syarie, Che Saupi Che Husin memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi Syariah di sini, pihaknya menarik balik pertuduhan itu selepas berpuas hati dengan surat representasi yang dikemukakan oleh peguam syarie, Mohd. Noor Bahari yang mewakili kedua-dua tertuduh.
Menurut Che Saupi, setelah meneliti dan menganalisis surat representasi tersebut, pihaknya berpuas hati Jamilah dan Mohd. Dawi hadir ke tempat kejadian bukan untuk melakukan perbuatan tidak bermoral.
''Kami ingin mengingatkan kedua-dua tertuduh, berdasarkan latar belakang kerjaya dan pendidikan, mereka tidak sepatutnya melakukan perbuatan tersebut,'' katanya.
Berikutan itu, Hakim Syarie, Mohamad Shakir Abdul Hamid memerintahkan kedua-dua tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan tersebut dan membenarkan permohonan peguam syarie supaya wang jaminan RM1,000 bagi setiap tertuduh dikembalikan.
Ketika pertama kali dihadapkan ke mahkamah pada 11 November lalu, tiada pertuduhan dibacakan terhadap tertuduh-tertuduh selepas Mohd. Noor memohon penangguhan bagi membolehkan pihak pendakwaan mempertimbangkan representasi yang dikemukakan.
Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, Jamilah yang merupakan ibu tunggal kepada dua orang anak mengucapkan kesyukuran bahawa kes itu telah selesai.
''Syukur Alhamdulillah, tuduhan ini digugurkan kerana saya rasa saya tidak bersalah,'' katanya.
Mohd. Dawi pula mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pelajaran dan institut tersebut kerana mempercayai kakitangan mereka dan bertindak secara profesional.
''Saya juga mengucapkan terima kasih kepada pihak media kerana membuat laporan untuk membersihkan nama kami semula,'' katanya.

Bicara khalwat bekas Pengarah JPJ Kedah 12 Mei

 

 

Bicara khalwat bekas Pengarah JPJ Kedah 12 Mei

KUALA LUMPUR 3 Feb. - Perbicaraan kes bekas Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, Zulkifli Othman yang didakwa berkhalwat di sebuah hotel hampir dua tahun lalu akan didengar di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada 12 Mei depan.
Kes itu sebelum ini didengar oleh hakim syarie Mukhyuddin Ibrahim. Beliau kini bagaimanapun telah dinaikkan pangkat sebagai Pendaftar Kehakiman di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).
Pada tarikh tersebut, kes Zulkifli dijadualkan akan didengar oleh seorang hakim syarie baru, Shukor Sabudin. Seorang kakitangan di bahagian pentadbiran di mahkamah tersebut memberitahu, hakim baru sedang menunggu pentauliahan daripada Yang di-Pertuan Agong.
Zulkifli, 48, sedang dibicarakan atas tuduhan berada bersama Nurjuliati Juhar dalam keadaan yang boleh menimbulkan syak sedang melakukan perbuatan yang tidak bermoral dengan seorang wanita yang bukan isteri dan mahramnya.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu pada pukul 3 pagi, 4 Ogos 2007, di bilik 401 Hotel Concorde Sultan Ismail di sini.
Zulkifli didakwa mengikut Seksyen 27(a) dan (b) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM3,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Nurjuliati, 47, bekas Penolong Setiausaha di Kementerian Pelajaran Putrajaya bagaimanapun telah mengaku bersalah dan didenda RM2,950 atau penjara dua bulan.

 

 

Lelaki sorok pasangan

JOHOR BAHRU 8 Mac – Taktik seorang lelaki cuba menyorok kekasihnya dalam almari pakaian tidak berjaya apabila kedua-dua mereka ditahan dalam operasi cegah maksiat di sini, awal pagi ini.
Lelaki berusia lingkungan 30-an itu berbuat demikian bagi mengelak daripada ditangkap khalwat dalam serbuan sepasukan pegawai penguat kuasa Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) di sebuah rumah teres di Senai.
Rahsia pasangan itu bagaimanapun terbongkar apabila pegawai penguat kuasa menemui pakaian dalam wanita dalam bilik yang diduduki lelaki itu.
Mereka adalah antara tiga pasangan bukan muhrim yang ditahan kerana disyaki berkhalwat dalam operasi di sekitar bandar raya ini.
Ketua Penolong Pengarah Penguat Kuasa JAIJ, Nooh Kadri berkata, kesemua pasangan berusia dalam lingkungan 30-an itu ditahan dalam operasi yang bermula pukul 12 tengah malam dan berakhir kira-kira pukul 3 pagi ini.
Katanya, dalam serbuan di rumah teres di Senai itu, pasangan wanita itu menyembunyikan diri dalam almari pakaian.
“Bagaimanapun, kita mengesan pakaian dalamnya tertinggal di bawah katil dan apabila diperiksa wanita itu ditemui bersembunyi dalam almari,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Khalwat? Fitnah...! - Zamzarina

Khalwat? Fitnah...! - Zamzarina


NORHAYATI Ismail (dari kiri) bersama Zamzarina, Ibrahim Seman dan Norhafizah Abdul Rahman pada majlis pengumuman penaja program Apa Kata Wanita di Angkasapuri, baru-baru ini.


BENARLAH kata orang, menjadi orang popular tidak semudah yang disangka dan lebih sukar lagi apabila kita menjadi terlalu popular. Ke mana sahaja kita pergi, kita menjadi perhatian ratusan mata yang memandang dengan pelbagai tafsiran yang kadang-kadang tidak terjangkau oleh fikiran.
Dan apabila populariti mengatasi segala-galanya, bukan sahaja pergerakan menjadi terbatas malah kadangkala tugas juga menjadi perhatian.
Begitulah yang dialami oleh hos program Apa Kata Wanita, Zamzarina Zambri.
Sejak menjadi pengacara program berkenaan, Zamzarina bukan sahaja menjadi popular malah hubungan baiknya dengan Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Datuk Kamaruddin Siaraf juga disalah anggap hingga menimbulkan khabar angin kononnya mereka ditangkap khalwat pada awal Mac lalu.
Walaupun khabar angin itu membuat ramai yang percaya, namun bagi Zamzarina ia sedikitpun tidak menjejaskan tugas, kerjaya dan rumah tangganya.
“Saya masih kuat dan tetap meneruskan kerja di sini (RTM) seperti biasa. Apa yang hendak saya takutkan, saya tidak perlu ‘melarikan diri’ ke tempat lain.
“Semua itu fitnah dan biarlah polis jalankan siasatan,” katanya saat diajukan persoalan mengenai isu khalwat ketika ditemui pada majlis pengumuman Daily Fresh sebagai penaja Apa Kata Wanita Bersama Zamzarina di Angkasapuri, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Norhayati Ismail, Penerbit Apa Kata Wanita Bersama Zamzarina, Ibrahim Seman dan Pengurus Perkhidmatan Francais Daily Fresh, Norhafizah Abdul Rahman.
Pada awalnya, Zamzarina enggan melayan dakwaan itu tetapi selepas ia dibangkitkan pembangkang di Parlimen, dirinya tampil bersuara untuk membersihkan nama.
Menurut Zamzarina, fitnah yang melandanya sedikitpun tidak menjejaskan tugas hakikinya di RTM selaku Penerbit Rancangan, Wartawan Penyiaran dan Ketua Meja Wanita di Bilik Berita.
Sambil menafikan terlibat dalam dakwaan berkenaan, wanita berusia 36 tahun ini bersyukur kerana keluarga terutama suami, Adnan Derahman mempercayai dan memberikannya sokongan untuk terus berkhidmat di RTM.
“Suami percaya saya. Lagipun, ketika isu itu (tangkap khalwat) kecoh, saya berada di London.
“Saya ke London kerana menjalankan tugas sempena promosi produk kraftangan Malaysia oleh Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.
“Dakwaan ini sememangnya mencemarkan nama saya dan polis pun sudah memulakan siasatan,” ujarnya.
Pada 7 Mac lalu, Kamaruddin dan Zamzarina telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfield berkenaan dakwaan khalwat membabitkan mereka berdua.
Meskipun berhadapan dengan fitnah tersebut, bagi Zamzarina ia bukanlah menjadi satu ‘momokan’ untuk berhenti bertugas di RTM.
“Kerja berjalan seperti biasa. Beliau (Datuk Kamaruddin) pun bertugas seperti biasa.
“Apa yang hendak ditakutkan, saya tak bersalah. Sudah lapan tahun saya di RTM dan fokus kerja saya sekarang ini adalah di Meja Wanita,’’ katanya.
Ditanya sejauh mana dirinya rapat dengan Kamaruddin, Zamzarina berkata, hubungan mereka terjalin secara profesional.
“Sebenarnya, saya terlibat dengan satu jawatankuasa yang bertindak sebagai memberi maklum balas tentang segala pembaharuan yang dilakukan di RTM.
“Sebagai kakitangan RTM, adalah menjadi tugas saya untuk melaporkan kepada beliau apa jua maklum balas yang diterima khususnya daripada penonton RTM.
“Disebabkan selalu berurusan, mungkin ada yang salah faham. Mungkin juga ada yang tidak suka dengan perubahan-perubahan yang dilakukan di RTM atas syor yang kami berikan,’’ tegasnya.
Kepada soalan tentang dirinya yang dikatakan tidak boleh ditegur atau ‘disentuh’ gara-gara rapat dengan Kamaruddin, Zamzarina menafikan hal tersebut sekeras-kerasnya.
Hos Apa Kata Wanita Bersama Zamzarina
Sementara itu, diajak berbicara tentang Apa Kata Wanita Bersama Zamzarina, ibu kepada tiga orang anak ini berkata, program yang disiarkan secara langsung dari Studio 1, Wisma TV, Angkasapuri pada setiap Jumaat, pukul 9.30 malam, telah memulakan siaran edisi sulung pada 2 Januari lalu.
Jelasnya, ia merupakan salah satu agenda wajah baru program terbitan RTM di samping beberapa lagi program lain.
Apa yang menarik, katanya, program tersebut telah mendapat penajaan daripada Daily Fresh Food Sdn. Bhd., sebuah syarikat francais yang menghasilkan produk makanan seperti sweet cup corn, jus dan wafer serta aiskrim.
Berkonsepkan bual bicara santai, rancangan itu menampilkan tokoh-tokoh wanita berjaya dalam pelbagai bidang sebagai tetamu jemputan pada setiap minggu.
Rencah kehidupan berkeluarga juga turut dimuatkan di samping membawa pakar berkaitan menjawab setiap dilema berhubung peranan wanita dalam kerjaya dan rumah tangga.
Sempena dengan pengumuman Daily Fresh selaku penaja Apa Kata Wanita Bersama Zamzarina, syarikat francais itu bersama RTM menganjurkan kuiz Daily Fresh & You `Go Lucky’ 2009 yang bermula pada 1 April hingga 31 Julai ini.
Hadiah utama berupa kereta Perodua Viva menanti penonton setia rancangan tersebut.

Mulai sekarang umat Islam yang menjadi warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mesti menyimpan nombor 15888 atas nama Jawi di telefon bimbit masing-masing. Jika tidak pun sematkan dalam ingatan. Ini kerana pada suatu hari nanti, nombor tersebut boleh digunakan untuk membuat aduan kepada Jabatan Agama Islam Wilayah (Jawi) melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS).

SMS maksiat kepada Jawi


Che Mat Che Ali (kanan) mendail nombor 15888 pada replika telefon bimbit selepas melancarkan Gerbang SMS kerajaan Malaysia oleh Jabatan Agama Islam Wilayah di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


Mulai sekarang umat Islam yang menjadi warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mesti menyimpan nombor 15888 atas nama Jawi di telefon bimbit masing-masing. Jika tidak pun sematkan dalam ingatan.
Ini kerana pada suatu hari nanti, nombor tersebut boleh digunakan untuk membuat aduan kepada Jabatan Agama Islam Wilayah (Jawi) melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS).
Benar, mudah bagi anda mengirimkan pesanan aduan anda itu kepada nombor 15888. Aduan tersebut akan terus diterima terutama oleh pihak Penguatkuasa Jawi untuk tindakan seterusnya!
Hasil kemajuan teknologi telah melahirkan perkhidmatan yang dikenali Gerbang SMS Kerajaan Malaysia 15888 Jawi ini.
Tetapi apa yang penting perkhidmatan seperti ini merupakan faedah yang boleh dimanfaatkan kepada umat Islam untuk memberikan kemaslahatan seluruh ummah!
Tidakkah tindakan anda melaporkan kejadian maksiat khalwat bukan sahaja kerana tidak mahu bersekongkol dengan maksiat itu, tetapi juga untuk menjaga imej Islam itu sendiri!
Kita tidak mahu dek kerana perbuatan yang tidak senonoh itu yang boleh menyumbang kepada jenayah zina menjadi cemuhan oleh mereka yang bukan Islam!
Pengenalan kepada perkhidmatan SMS ini dilancarkan oleh Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Che Ali di Pusat Islam, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Penyediaan perkhidmatan ini adalah hasil kerjasama Jawi dengan Bahagian E-KL, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dengan DAPAT Vista (M) Sdn. Bhd. Hadir sama ialah Naib Presiden Eksekutif DAPAT Vista, Azli Paat.
Menurut Che Mat, setakat ini Jawi adalah satu-satunya Jabatan Agama Islam yang memperkenalkan sistem perkhidmatan SMS ini.
"SMS ini bukan sahaja untuk membuat aduan tetapi termasuk juga mendapatkan borang-borang nikah kahwin yang boleh dihantar ke alamat e-mel masing-masing selepas permintaan dibuat melalui sms 15888 ini," katanya.
Jangan salah guna!
Namun beliau mengingatkan umat Islam supaya tidak menyalahgunakan perkhidmatan ini kerana perbuatan sedemikian boleh mengundang salah faham dan fitnah.
Katanya, aduan yang diterima melalui SMS ini adalah lengkap kerana nombor telefon pengadu ada tertera dan akan disimpan sebagai rujukan fail.
"Sesiapa yang didapati cuba menyalahgunakan perkhidmatan ini, tindakan terhadap si pengirim boleh diambil," tegas Che Mat.
Che Mat berharap perkhidmatan ini benar-benar dapat membantu Jawi membanteras lebih banyak jenayah syarie yang dilakukan oleh umat Islam di Wilayah Persekutuan.
"Pengadu tidak perlu bimbang jika ragu-ragu hendak membuat aduan. Andai terserempak tanpa membuang masa, terus SMS kepada pihak Jawi tanpa disedari oleh suspek.
"Cara ini mungkin lebih selamat lebih-lebih lagi melibatkan jenayah yang dilakukan oleh jumlah pelaku yang ramai dan di kawasan yang kurang jaminan aspek keselamatan," katanya.
Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, Jawi berjaya mencapai satu kaedah yang sangat mudah, pantas dan efisien.
Ia boleh diakses tanpa mengira masa dan tempat bagi membanteras pelbagai gejala maksiat di kalangan umat Islam.
"Perkhidmatan seperti ini mesti diambil peluang oleh mereka yang tidak mahu bersekongkol atau bersubahat dari membiarkan maksiat itu berleluasa.
"Apabila kita tidak mampu menanganinya dengan tangan atau kuasa, maka dengan cara ini merupakan kaedah yang mudah dan selamat yang boleh mereka lakukan," katanya.
Beliau juga mengingatkan tanggungjawab pihak Jawi terutama Bahagian Penguat Kuasa kini semakin bertambah dan berat.
"Dari aspek penguatkuasaan terhadap setiap aduan tersebut adakah mereka mempunyai cukup bilangan pegawai dan kakitangan yang terlatih dan berkemahiran. Apatah lagi melibatkan jenayah khalwat," katanya.
Namun Musa lebih mengharapkan agar perkhidmatan seperti ini tidak menjadi seperti apa yang berlaku pada talian kecemasan 999.
"Ini apabila mereka menggunakan talian itu untuk membuat talian palsu dan sebagainya, jadi tidak mustahil perkara yang sama boleh berlaku kepada perkhidmatan SMS yang ditawarkan oleh Jawi ini," katanya.
Seperkara yang penting juga kata Musa, pengadu mesti menyedari bahawa aduan yang mereka lakukan melalui ini bukan satu aduan yang rasmi.
"Mereka mesti bertanggungjawab untuk mengisi borang 5, borang aduan yang disediakan oleh pihak Jawi bagi memastikan seluruh perjalanan kes ini adalah rasmi dan tidak boleh dipersoalkan oleh mana-mana pihak yang lain," katanya.
Si pengadu juga kata Musa mesti berada di tempat kejadian semasa penguatkuasaan dilakukan oleh pihak Jawi.
"Sesetengah kes jenayah syarie sebelum ini terlepas daripada diambil tindakan apabila pengadu hanya membuat aduan tetapi tidak mengisi borang tersebut," katanya.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Jenayah khalwat semakin berleluasa

Jenayah khalwat semakin berleluasa

KUALA LUMPUR 28 Mei - ''Tahun 1960-an jarang-jarang. 1970-an kadang-kadang. 1980-an kadang-kadang ada, kadang-kadang tiada. 1990, selalu ada. Masuk alaf baru, macam cendawan tumbuh selepas hujan.''
Ungkapan pegawai pendakwa syarie, Abdul Halim Abdullah ketika mengemukakan bantahan terhadap rayuan untuk mengurangkan hukuman oleh pasangan yang dituduh berkhalwat di Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini mampu membuatkan sesiapa yang mendengarnya tersenyum sendiri.
Bagaimanapun ungkapan tersebut bukan bermaksud gurauan sebaliknya satu kenyataan pahit kerana ia menggambarkan jenayah khalwat yang semakin berleluasa dan serius di kalangan umat Islam.
Pasangan itu adalah antara lapan pasangan yang didakwa hari ini atas tuduhan berkhalwat di sekitar ibu kota antara Disember tahun lalu dan Februari lepas.
Selain 16 orang tersebut, dua lagi tertuduh masing-masing didakwa berkhalwat bersama warga Myanmar bukan beragama Islam dan bersubahat membantu perlakuan khalwat.
Pada prosiding hari ini yang dijalankan di dua Mahkamah Tinggi Syariah, seramai 12 orang mengaku bersalah atas tuduhan berkhalwat, tiga mengaku tidak bersalah dan seorang didenda kerana bersubahat membantu perlakuan tersebut.
Satu lagi pasangan iaitu Mohd. Ab. Halim Kamaruzaman, 21, dan Norizan Musa, 22, masing-masing dikenakan waran tangkap oleh Hakim Syarie, Mohd. Radzi Abd. Latif.
Waran tangkap itu akan dilaksanakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pegawai penguat kuasa dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).
Bagi tertuduh yang mengaku bersalah, mahkamah menjatuhkan hukuman denda antara RM2,000 dan RM3,000. Terdapat juga pesalah yang dikenakan hukuman penjara antara tiga dan 30 hari.
Yang mengaku tidak bersalah ialah Mohd. Norhafizul Mohd. Noora'ae dan teman wanitanya, Maz Iramaya Maznan dan seorang anggota tentera, Tengku Mohd. Faisal Engku Mahmood Mahedden.
Ketiga-tiga mereka dibebaskan secara ikat jamin antara RM2,000 dan RM2,500 dengan seorang penjamin setiap seorang.
Pertuduhan bagi kesalahan khalwat dibuat mengikut Seksyen 27(a) dan (b) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.
Bagi pertuduhan bersubahat dalam melakukan khalwat pula, pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 43(c) akta sama yang memperuntukkan hukuman serupa.
Beberapa kes turut didengar oleh Hakim Syarie, Mohamad Adib Husain. Selain Abdul Halim, pendakwaan dikendalikan dua pegawai pendakwa syarie lain iaitu Amir Yahaya dan Umamuddin Yunus.

Bimbang ditangkap khalwat

Bimbang ditangkap khalwat

SOALAN :
Sejak akhir-akhir ini, saya banyak membaca di akhbar berita-berita mengenai mereka yang ditangkap khalwat. Banyak sangat cerita khalwat dan banyak pertanyaan seperti bolehkah ditangkap semasa dalam pejabat atau bangunan? Sekarang ini, kita kerja tak tentu masa dan sampai lewat malam.
Bolehkah SIS memberi sedikit penjelasan mengenai isu khalwat ini?
Terima kasih.
Kejora Ali
Segambut, Kuala Lumpur.
Jawapan:
Secara amnya di bawah perundangan Islam di Malaysia, peruntukan bagi khalwat dinyatakan di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah. Seksyen 27 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 iaitu mana-mana:
(a) Orang lelaki yang didapati berada bersama dengan seorang atau lebih daripada seorang perempuan yang bukan isteri atau mahramnya; atau
(b) Orang perempuan yang didapati berada bersama dengan seorang atau lebih daripada seorang lelaki yang bukan suami atau mahramnya, di mana-mana tempat yang terselindung atau di dalam rumah atau bilik dalam keadaan yang boleh menimbulkan syak bahawa mereka sedang melakukan perbuatan yang tidak bermoral adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
Jika disabit kesalahan, maka boleh didenda atau dipenjarakan. Oleh kerana undang-undang Syariah hanya tertakluk kepada orang Islam, maka orang bukan Islam tidak boleh dituduh dengan khalwat.
Pihak berkuasa yang boleh melakukan tangkapan khalwat adalah pegawai penguatkuasa dari Unit Penguatkuasaan Pejabat Agama, pegawai polis atau imam sesuatu kawasan jika kawasan tersebut terletak jauh dari kawasan Pejabat Agama dan sukar bagi Pegawai Penguatkuasa untuk datang membuat tangkapan.
Orang awam tidak boleh membuat serbuan atau tangkapan khalwat ke atas seorang orang awam lain tetapi boleh membuat aduan kepada Pejabat Agama jika mereka mempunyai syak wasangka berlaku kesalahan khalwat di sesuatu tempat.
Kebiasaannya, semasa membuat serbuan khalwat, akan terdapat empat orang Pegawai Penguatkuasa dari Pejabat Agama atau Polis. Ini adalah tertakluk kepada pemahaman mengenai empat orang saksi lelaki yang diperlukan sebagai saksi jenayah syariah.
Apabila serbuan dibuat, jika anda dan pasangan berada di dalam sesuatu tempat yang tertutup, maka pegawai penguatkuasa sepatutnya akan meminta izin untuk memasuki bilik atau rumah tersebut.
Apabila anda membenarkan pegawai penguatkuasa masuk atau anda dan pasangan keluar daripada tempat yang tertutup tersebut, maka pegawai penguatkuasa akan memberi penjelasan mengapa mereka di situ.
Adalah penting bagi anda untuk meminta pegawai penguatkuasa menunjukkan kad kuasa mereka (sama ada Pegawai Pejabat Agama atau Pegawai Polis) bagi mengelakkan penyalahgunaan kuasa.
Pasangan juga boleh kemudiannya menjelaskan kepada pegawai penguatkuasa mengapa mereka berada di kawasan tertutup tersebut.
Jika pegawai penguatkuasa tidak berpuas hati dengan penjelasan anda, maka mereka akan di bawa ke Pejabat Agama di mana butir-butir peribadi anda akan di ambil untuk siasatan lanjut.
Butir-butir yang biasanya di ambil adalah status perkahwinan, nombor kad pengenalan, alamat dan nombor telefon. Anda boleh mendapatkan khidmat bantuan peguam untuk membantu ketika proses soal siasat.
Sekiranya pejabat agama mahu mengambil tindakan maka dan pendakwaraya mendapati ada kes ke atas anda, maka proses mahkamah akan bermula.
Anda akan disaman ke mahkamah syariah dan meminta untuk hadir menghadapi tuduhan. Jika anda didapati bersalah, maka anda boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau mungkin juga boleh dipenjarakan.
Kadangkala apabila kes tangkapan yang dibuat tidak begitu serius maka anda akan diminta untuk bertaubat atau insaf sebelum pendakwaan diteruskan.
Ketika itu, tuduhan boleh digugurkan dan anda hanya akan diarahkan untuk menghadiri kaunseling di Pejabat Agama.
Anda juga boleh membuat aduan kepada pihak atasan sekiranya tidak berpuas hati dengan tingkah laku pegawai penguatkuasa ketika tangkapan dilakukan.

197 pelajar ditangkap khalwat

197 pelajar ditangkap khalwat

KUALA TERENGGANU 26 Ogos - Sebanyak 197 pelajar sekolah menengah serta institusi pengajian tinggi awam dan swasta di negeri ini ditangkap khalwat dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.
Daripada jumlah itu, Kemaman mencatatkan kes tangkapan kes tertinggi iaitu 126 kes manakala Dungun (55), Besut (49), Kuala Terengganu (35), Marang (29), Setiu (8) dan Hulu Terengganu lima kes.
Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, Bahagian Penguat Kuasa Syariah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) telah mengambil langkah bagi mengurangkan kes berkenaan.
Beliau berkata, antaranya ialah mengadakan program penerangan mengenai kesalahan jenayah syariah serta implikasi terhadap kesalahan berkenaan.
Katanya, kempen juga diadakan di sekolah serta institusi pengajian tertinggi terbabit di seluruh daerah dengan kerjasama agensi-agensi pertubuhan belia dan Rukun Tetangga.
"JHEAT juga mengadakan penerangan khas kepada pegawai-pegawai dan ahli jawatankuasa masjid, pemimpin-pemimpin masyarakat dan lain-lain untuk diberi penjelasan pula kepada segenap lapisan masyarakat mengenai usaha menangani kes berkenaan," katanya.
Beliau menjawab soalan bertulis Mohd. Nor Hamzah (Pas-Bukit Payung) berhubung isu tangkapan khalwat pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Razif berkata, JHEAT juga membuat rondaan, risikan, pemeriksaan mengejut di hotel-hotel, chalet, rumah rehat, pusat hiburan, taman rekreasi dan seterusnya membuat pendakwaan di mahkamah mengikut bidang kuasa yang ada.

Khalwat: Wanita aksi cat woman nyaris terjun hotel

Khalwat: Wanita aksi cat woman nyaris terjun hotel

KUANTAN 1 Jan. - Seorang wanita sanggup menyabung nyawa apabila bertindak ala cat woman apabila duduk mencangkung di luar tingkap hotel setinggi empat tingkat semata-mata mahu menyelamatkan diri daripada ditangkap khalwat dalam Operasi Insaf sempena tahun baru di Jalan Wong Ah Jang di sini hari ini.
Akibat takut dicekup penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), wanita berusia 20 tahun itu keluar melalui tingkap dan duduk mencangkung di ruang sempit selebar 20 sentimeter di luar tingkap hotel tersebut.
Wanita yang berasal dari Dungun, Terengganu itu dikatakan dipaksa teman lelakinya yang berusia 28 tahun untuk berbuat demikian selepas menyedari bilik mereka diserbu pihak berkuasa.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi itu, anggota penguat kuasa terpaksa mengetuk pintu bilik berkenaan hampir 15 minit sebelum dibuka seorang lelaki lengkap berpakaian.
Semasa pemeriksaan awal, hanya lelaki terbabit berada di dalam bilik tersebut, namun, penguat kuasa mengesyaki sesuatu apabila menemui sepasang kasut dan beberapa barangan wanita terbabit.
Apabila penguat kuasa menjenguk ke luar tingkap, didapati seorang wanita sedang duduk mencangkung di ruang sempit di tepi tingkap itu pada ketinggian kira-kira 30 meter dari bawah.
Cemas dengan serbuan itu, wanita terbabit mengancam untuk terjun dari tingkat empat hotel berkenaan jika gambarnya dirakamkan pihak media yang menyertai operasi mencegah maksiat itu.
Selepas dipujuk, wanita tersebut akhirnya berjaya dibawa masuk melalui tingkap berkenaan selepas teman lelaki dan penguat kuasa memegang dan menariknya ke dalam bilik.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa JAIP, Ahmad Raffli Ab. Malek berkata, kejadian sedemikian sering berlaku apabila salah seorang pasangan berkhalwat panik ketika serbuan dilakukan.
"Pelbagai ragam dan kerenah pesalah khalwat kita hadapi, ada yang hendak terjun bangunan, lari tinggalkan pasangan, menyorok atas syiling dan banyak lagi.
"Bagaimanapun, anggota penguat kuasa telah bersedia untuk mengatasinya," katanya kepada pemberita selepas menyertai operasi itu di sini hari ini.
Operasi yang bermula pukul 6.30 pagi hingga 9 pagi itu disertai 30 anggota penguat kuasa dan Skuad Briged Cegah Maksiat.
Mengulas operasi itu, kata Ahmad Raffli, seramai 59 orang berusia antara 16 dan 55 tahun ditahan atas kesalahan berkhalwat di 20 hotel murah di bandar ini.
Menurutnya, daripada jumlah tangkapan itu, terdapat dua kes berulang dikesan.
Kata beliau, operasi berkenaan turut melibatkan kesalahan minum arak, wanita berpakaian tidak senonoh dan aksi peluk cium di khalayak ramai.
"Hasil operasi sejak malam semalam sehingga pagi ini, terdapat dua kes minum arak, 58 orang ditangkap khalwat, tiga kes kesalahan perempuan mendedahkan tubuh dan 20 orang berpeluk cium," katanya.
Turut ditahan dalam operasi sama, ujarnya, seorang lelaki bergelar 'Tengku' berusia 33 tahun, pasangan warga emas dan pelajar sekolah.
Tambah beliau, kesemua mereka akan didakwa di bawah Seksyen 145(1) dan (2) Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 (Pindaan 1987) dan sabit kesalahan, boleh didenda sehingga RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua- duanya sekali.
====================

JAIP nabs 58, JAIS picks up 104 for ”khalwat”

KUANTAN Jan.1 — The Pahang Religious Department (JAIP), rounded up 58 people for ”khalwat” (close proximity) from hotels and budget inns in around Kuantan, during Ops Insaf 2010.
JAIP”s chief enforcement officer Ahmad Raffli Ab Malek said the operation that was carried out from 6pm (Dec 31) to 9am today, involved 30 officers from JAIP and 60 members from the Cegah Mungkar Brigade.
He added that 20 hotels and budget inns along Jalan Wong Ah Jang, Jalan Besar, Jalan Bukit Ubi, Jalan Teluk Sisek and Jalan Stadium were inspected and among those nabbed were students from schools and higher learning institutions who ages ranged from 16 to 55.
"There were some who attempted to jump down from hotel rooms to escape the raid while there were also repeated offenders who were found with different partners,” he told reporters here today.
"Some of those nabbed had come from other states like Negeri Sembilan and Terengganu,” he said.
In Selangor, two students from higher learning institutions were among 52 couples rounded by the Selangor Religious Department (JAIS) for ”khalwat” and drinking alcohol in public.
According to JAIS public relations officer Mohd Hidayat Abdul Rani, the 52 couples were picked up from various locations in Klang, Shah Alam and Kajang. - Bernama

Kes isteri curang makin membimbangkan

Kes isteri curang makin membimbangkan

NAMA saya Muna, suami saya Hisham. Perkahwinan kami pada 2008 atas dasar suka sama suka. Bahagia, dia seorang suami yang baik, penyayang dan cukup sempurna. Silapnya di sini adalah, saya kerana tidak tahan dugaan ketika berjauhan. Sejak mula kami menikah memang sudah duduk berjauhan.
Suami bekerja di Kuala Lumpur sementara saya di Sabah. Memanglah hidup saya tidak sama seperti isteri-isteri lain, ada suami datang menjemput, bila balik rumah boleh duduk sama-sama dan berbual. Saya tidak lalui itu semua, setiap hari saya berseorangan, hanya telefon yang menjadi pengantara.
Setahun berlalu, mula timbul rasa bosan tinggal berseorangan dan sunyi. Saya cuba meminta tukar ke Kuala Lumpur tapi tidak berjaya kerana tidak ada kekosongan. Terus juga berjauhan, masa yang banyak terluang saya habiskan bersama kawan-kawan, keluar minum dan melepak di kafe. Bila sudah selalu keluar bersama, akhirnya saya tercerita juga tentang masalah rumah tangga dan kesunyian.
Rupa-rupanya itulah kesilapan besar yang telah saya lakukan dan saya berasa sangat menyesal.
Ini kerana kawan baik saya itu seorang lelaki bujang. Bila dengar cerita saya itu, dia mula menaruh simpati dan selalu menemani saya, menjadi pendengar setia. Bila selalu bersama, timbul rasa sayang hingga membawa kepada keterlanjuran. Waktu itu tanpa saya sedari rupanya saya sudah mengandung enam minggu.
Ketika itu saya rasa sangat bersalah kerana menduakan suami sedangkan dia seorang yang baik. Saya menangis kesal, tapi semuanya sudah terlewat. Bila dapat tahu mengandung, saya mula menjauhkan diri. Saya rasa inilah titik bahawa saya harus menghentikan semuanya, tapi saya sering saja tewas.
Ketika kandungan berusia lima bulan, saya ditukarkan ke Kuala Lumpur. Saya rasa lega kerana berjaya melepaskan diri daripada terus membuat benda tidak senonoh. Duduk di samping suami memang suatu yang amat membahagiakan.
Namun selepas dua bulan hidup sebumbung, perangai suami berubah sangat, jarang balik ke rumah dan sering marah-marah. Saya bertambah sedih apabila suami mengaku ada menjalin hubungan dengan seorang perempuan yang baru dua bulan dikenali.
Dia pulang ke rumah pun hanya kerana rasa kasihnya pada saya yang sedang sarat mengandung. Apabila matahari jatuh, perasaannya pada saya berubah menjadi benci untuk mengelakkan dari terus memarahi saya dia lebih sanggup tidur di pejabat.
bersyukur
Apabila dirujuk kepada ustaz, rupa-rupanya suami saya telah diberi makan benda kotor oleh perempuan yang baru dikenali itu bertujuan untuk membodohkannya. Alhamdulillah, saya masih bersyukur kerana masih ada satu titik putih di dalam hati suami untuk merasa belas kepada saya. Suami meminta saya pulang ke kampung halaman sementara dia berusaha untuk mengubati dirinya.
Allah Maha Mengetahui, saya percaya inilah balasan-Nya di atas perbuatan curang selama ini. Suami tidak tahu pun apa yang saya lakukan, dia kata apa yang saya lakukan tanpa pengetahuannya, walau sebesar mana pun salah saya dia sudah ampunkan dan dia tidak mahu tahu apa itu.
Sekarang saya yang rasa bagaimana sakitnya bila suami menduakan saya. Tuhan itu Maha Adil, saya perlu jalani 'hukuman-Nya' ini.
APA yang anda baca sebentar tadi adalah pengakuan seorang isteri curang sewaktu ditemu bual oleh wartawan majalah Al Islam, baru-baru ini. Selain Muna, dua orang lagi wanita turut tampil membuat pengakuan serupa.
Apakah yang sedang berlaku? Adakah kini sedang berlaku trend curang di kalangan isteri, supaya mereka kelihatan setaraf dengan suami, atau lebih tepat lagi lelaki, yang sudah tidak pelik lagi dengan sikap curangnya itu?
Sememangnya sejak kebelakangan ini sudah beberapa kali media massa menyiarkan kes isteri curang. Antaranya, pada 24 September 2009, apabila seorang wanita ditangkap pegawai Jabatan Agama Islam Perlis pada hari jadinya yang ke 31, kerana disyaki berkhalwat. Apa yang menyedihkan, penangkapan ibu yang mempunyai dua orang anak itu turut disertai oleh suaminya, dan suaminya itu pula telah menyediakan kek istimewa untuk si isteri tadi.
Sebulan kemudian, di Kajang pada 25 Oktober 2009, seorang ibu berusia 37 tahun dan mempunyai lima anak pula telah ditangkap oleh pegawai Jabatan Agama Islam Selangor kerana disyaki berkhalwat. Lelaki yang disyaki menjadi pasangannya berusia 31 tahun.
Pada 3 Disember 2009 pula, media massa tempatan menyiarkan pula kisah seorang isteri yang didakwa telah meninggalkan suami yang baru dua minggu dikahwininya. Sebelum meninggalkan suaminya pada dinihari 6 November lalu, wanita berusia 20 tahun itu didakwa asyik melayan Sistem Pesanan Ringkas (SMS), hatta semasa sedang bersanding sekali pun. Berita-berita susulan kemudiannya lebih 'gempar'. Isteri muda ini dikatakan telah ditangkap khalwat.
Itu kes-kes yang dilaporkan oleh media. Bagaimana pula yang tidak dilaporkan?
Persoalannya sekali lagi, adakah curang kini menjadi satu trend? Apakah pandangan Islam dalam isu curang? Dan, apa pula peranan kerajaan, khususnya Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk menangani gejala tersebut?
Dapatkan majalah Al Islam keluaran Januari 2010 untuk mengetahui jawapan kepada persoalan-persoalan ini.

================

52 pasangan berkhalwat tahun baru dicekup

SHAH ALAM 1 Jan. - Sebanyak 52 pasangan dicekup Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) selepas disyaki berkhalwat dalam serbuan di beberapa buah hotel murah sekitar Shah Alam, Kajang dan Klang dekat sini awal pagi ini.
Kesemua pasangan yang ditahan berusia antara 20-an hingga 30-an dengan kebanyakan mereka merupakan pekerja kilang dan pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Serbuan yang dibuat dalam operasi sempena tahun baru 2010 itu bermula pukul 12 tengah malam hingga 5 pagi disertai Bahagian Penguat Kuasa JAIS, pegawai masjid negeri, anggota pihak berkuasa tempatan (PBT) dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO).
Penolong Pengarah Unit Perhubungan Awam dan Penerbitan JAIS, Mohd. Hidayat Abd. Rani berkata, operasi bertujuan membanteras kegiatan maksiat, menguatkuasakan undang-undang syariah dan memberi kesedaran kepada masyarakat.
Beliau berkata, tumpuan operasi di kawasan hotel, tasik dan pusat-pusat hiburan.
''Serbuan di beberapa buah hotel di Klang berjaya menahan 40 pasangan dan selebihnya diberkas di Shah Alam dan Kajang.
"Pasangan yang berkhalwat akan didakwa mengikut Seksyen 29 (1a) dan (b) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut beliau, selain 52 kes pasangan berkhalwat, sebanyak 53 kesalahan lagi membabitkan kesalahan syariah yang lain seperti minum arak dan berkelakuan tidak sopan di khalayak ramai.
Katanya, selepas operasi selesai, hampir 100 orang yang ditahan kerana berkelakuan tidak sopan dikhalayak ramai dibawa balik ke ibu pejabat JAIS untuk diberikan kaunseling sebelum dibebaskan.
Mohd. Hidayat berkata, kesemua yang ditahan untuk kes khalwat akan didakwa di mahkamah Klang, Shah Alam dan Kajang pada Isnin depan.
=============================

Bekas penguat kuasa JAIS bebas tuduhan cabul KUALA LUMPUR 8 Jan. – Hari Jumaat benar-benar membawa rahmat kepada seorang bekas penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hari ini.

Bekas penguat kuasa JAIS bebas tuduhan cabul

KUALA LUMPUR 8 Jan. – Hari Jumaat benar-benar membawa rahmat kepada seorang bekas penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hari ini.
Ini kerana beberapa jam sebelum azan solat Jumaat berkumandang, Muhamad Hafiz Kanimon, 25, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Ampang dekat sini tanpa dipanggil membela diri atas dua pertuduhan membabitkan kesalahan seksual.
Hakim Noradidah Ahmad memutuskan demikian di akhir kes pendakwaan selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kedua-dua tuduhan itu.
Muhamad Hafiz yang kini bekerja sebagai penguat kuasa di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Putrajaya didakwa atas tuduhan melakukan seks oral ke atas mangsa yang berusia 26 tahun.
Perbuatan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 11 pagi, 1 Ogos 2006 di sebuah bilik di Pejabat Agama Islam Daerah Gombak Timur, Jalan AU2A/17, Taman Keramat, Ampang Jaya dekat sini.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.
Pada masa, tarikh dan tempat yang sama, dia juga dituduh mencabul wanita tersebut mengikut Seksyen 354 kanun serupa yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun atau denda atau sebatan atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu.
Mangsa merupakan seorang pesalah khalwat yang ditangkap oleh Muhamad Hafiz pada malam sebelum kesalahan seksual itu didakwa berlaku.
Laporan akhbar sebelum ini menyebut, wanita itu telah ditangkap khalwat bersama pasangannya di sebuah stesen minyak di Taman Melati dekat sini pada malam 31 Julai 2006 dan diarahkan hadir ke Pejabat Agama Islam Gombak Timur untuk disoal siasat.
Sebaik sahaja mendengar keputusan hakim, Muhammad Hafiz yang hadir dengan ditemani saudaranya dilihat menadah tangan tanda kesyukuran.
Dia yang diwakili peguam bela, Ariff Azami Hussein juga dilihat tersenyum lebar apabila keluar dari kandang tertuduh.
Terdahulu, Ariff Azami ketika membentangkan hujahannya menyatakan, kegagalan pihak pendakwaan memanggil teman lelaki mangsa dan ahli kimia telah ‘membunuh’ kes itu.
Peguam turut berhujah, walaupun terdapat kesan air mani pada baju kurung mangsa tetapi ia tidak pernah disahkan siapa penyumbangnya.

Jawi sasar Putrajaya sifar maksiat

Jawi sasar Putrajaya sifar maksiat


Sasaran sifar jenayah syariah bermatlamat memasti dan merealisasikan Putrajaya sebagai Bandaraya Firdaus.


KATA orang mempertahankan apa yang dimiliki adalah lebih sukar berbanding memperolehinya. Namun, ia bukan menjadi halangan bagi Jabatan Agama Islam Wilayah (Jawi) cawangan Putrajaya.
Jawi mahu merealisasikan hasrat mengekal dan memastikan Wilayah Persekutuan Putrajaya bukan sahaja indah dan cantik dari sudut fizikal tetapi juga molek daripada sudut akhlak para penghuni dan pengunjungnya.
Maklumlah, Putrajaya yang dikelilingi oleh flora dan fauna serta pelbagai infrastruktur untuk kemudahan para pengunjung turut tidak terlepas daripada perbuatan vandalisme dan juga perlanggaran Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997.
Tugas mencegah kemungkaran lebih-lebih lagi maksiat ini pula amat dibenci oleh sesetengah masyarakat. Hinggakan bukan sesuatu yang rahsia, anggota penguat kuasa agama diherdik, dicaci dan dimaki.
Lebih teruk lagi, mereka turut disaman kerana melaksanakan tugas mencegah kemungkaran.
Sebenarnya, tanggungjawab mencegah kemungkaran ini bukan hanya tugas pihak berkuasa tetapi tanggungjawab kita bersama.
Ini berdasarkan sabda Nabi SAW: daripada Abu Said katanya: aku dengar Rasulullah bersabda: Siapa yang melihat (dan tahu) sebarang kemungkaran, maka hendaklah diubahkannya dengan tangannya (kuasanya), kalau tidak berkuasa, maka (ubahlah) dengan lidahnya, dan kalau tidak mampu juga, maka ubahlah dengan hatinya, dan itulah selemah-lemah iman. (riwayat Muslim).
Namun, itulah tugas dan tanggungjawab berat yang ditanggung oleh Jawi sebagai agensi agama dalam memastikan kawasan Putrajaya seluas 4,391 hektar dengan kos RM20.5 bilion itu bersih atau sifar maksiat.
Ia selaras dengan firman Allah yang bermaksud: Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi umat manusia; kerana kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang mungkar (yakni kufur) serta kamu pula beriman kepada Allah dengan benar-benar iman…(ali-Imran: 110)
Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Che Ali berkata, untuk itu pihaknya meningkatkan keanggotaan Unit Penguat Kuasa daripada empat kepada 10 orang.
Katanya, ini dilakukan untuk memelihara keindahan dan kecantikan Putrajaya daripada sebarang perlakuan tidak berakhlak sama ada oleh penduduk setempat atau para pengunjung termasuk pelancong asing.
Beliau juga menegaskan, sebarang perlakuan tidak sopan dan tidak berakhlak akan dibendung.
Malah pada tahun 2010 ini, beliau juga akan turun padang bersama-sama petugas Jawi untuk memastikan segala perlakuan tidak sopan ini dapat dihentikan.
"Sasaran sifar jenayah syariah menerusi pemantauan dan penguatkuasaan yang berterusan menjadi matlamat utama kita dalam memastikan Putrajaya mampu direalisasikan sebagai Bandaraya Firdaus seperti yang pernah diungkapkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad," katanya kepada Mega, baru-baru ini.
Di bawah perkara 12.1 Seksyen 27 (khalwat) adalah menjadi kesalahan bagi:
a) Lelaki yang didapati bersama dengan seorang atau lebih daripada seorang perempuan yang bukan isteri atau mahramnya,
b) Wanita yang didapati bersama dengan seorang atau lebih daripada seorang lelaki yang bukan suami atau mahramnya,
di mana-mana tempat yang terselindung atau di dalam rumah atau bilik dalam keadaan yang boleh menimbulkan syak bahawa mereka sedang melakukan perbuatan yang tidak bermoral.
Jika disabitkan kesalahan boleh didenda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.
Di bawah perkara 12.2 Seksyen 29 (Perbuatan tidak sopan di tempat awam) sesiapa yang bertindak atau berkelakuan tidak sopan bertentangan dengan hukum syarak di mana-mana tempat awam adalah melakukan kesalahan.
Jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM1,000 atau penjara maksimum enam bulan tahun atau kedua-duanya.
Menurut Che Mat, pihaknya juga mendapat kerjasama Bahagian Pengurusan Hartanah, Jabatan Perdana Menteri untuk mengeluarkan perintah mengosongkan kuarters bagi kakitangan kerajaan yang terlibat dengan kesalahan jenayah syariah.
Pada masa yang sama, beliau menyeru umat Islam sebagai majoriti daripada kira-kira 37,000 penduduk kawasan itu agar sentiasa mengimarahkan rumah-rumah Allah terutamanya Masjid Putra dan Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin. Selain itu, terdapat 34 surau di Putrajaya.
Adalah malang, jika masjid yang indah dan dibina dengan kos yang mahal itu hanya mempunyai bilangan jemaah yang sedikit pada setiap kali solat waktu dan juga program-program kerohanian yang dijalankan.
"Saya berharap umat Islam di Putrajaya menggunakan sepenuhnya kemudahan masjid dan tempat-tempat ibadat yang disediakan oleh kerajaan. Ia bukan sahaja untuk ibadat khusus tetapi juga lokasi kegiatan kemasyarakatan untuk memupuk ukhuwah," jelasnya.
Sehubungan itu, kata Che Mat, pihaknya turut mengadakan pelbagai aktiviti bagi menarik penyertaan masyarakat Islam mendekatkan diri dengan masjid.
Antaranya, Explorace remaja dan belia di Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin, program pemantapan akidah dan akhlak, sambutan hari-hari kebesaran dalam takwim Islam, majlis ramah mesra Tahun Baru dan Festival Dakwah.
Menyorot sejarah, dari sebuah tempat terpencil yang dikenali dengan nama Prang Besar, kawasan ini melonjak membangun dengan nama Putrajaya mulai 12 Oktober 1994.
Berbanding Kuala Lumpur, sebuah bandar tinggalan penjajah, Putrajaya dibangunkan oleh anak bangsa sendiri bercirikan budaya tempatan.
Mula dibina pada 16 April 1995, Putrajaya menggunakan aplikasi teknologi maklumat (IT). Dengan terbinanya Putrajaya, suatu hari nanti Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan menjadi bandar gergasi setanding Tokyo dan Yokohama di Jepun.
Pada 10 Mei 1999, Kompleks Pejabat Perdana Menteri mula beroperasi. Putrajaya menjadi penanda aras kepada pembangunan dan pentadbiran sesebuah bandar baik di peringkat dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa.
Menurut Che Mat, umat Islam di negara ini dan Putrajaya khususnya perlu menggunakan semua kemudahan yang disediakan oleh kerajaan dengan sebaik-baiknya sebagai tanda bersyukur atas nikmat Allah.
Ini penting kerana Allah telah berfirman yang bermaksud: Dan (ingatlah) tatkala Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras". (Ibrahim: 7)

DITANGKAP basah? Begitulah persoalan paling hangat yang dibualkan oleh peminat industri hiburan sepanjang minggu lalu. Apabila jutawan kosmetik popular, Datuk Sosilawati Lawiya kena 'tangkap' pada malam sambutan tahun baru minggu lepas, macam-macam versi hangat yang terkeluar.

Narathiwat?




DITANGKAP basah? Begitulah persoalan paling hangat yang dibualkan oleh peminat industri hiburan sepanjang minggu lalu. Apabila jutawan kosmetik popular, Datuk Sosilawati Lawiya kena 'tangkap' pada malam sambutan tahun baru minggu lepas, macam-macam versi hangat yang terkeluar.
Pada awalnya sebuah laman web melaporkan Sosilawati ditangkap khalwat bersama seorang lelaki yang dipercayai duda beranak tiga di sebuah kondominium mewah. Ish! Kalau sudah kondominium mestilah mewah. Lagi pun jutawan, takkan hendak melepak di tempat murahan. Iya ke tak?
Tidak mahu terus-terusan dirinya diaibkan, sehari selepas cerita dia ditangkap khalwat tersebar di internet, Sosilawati keluar dengan kenyataan yang jauh lebih mengejutkan. Kali ini kepada akhbar pula.
"Dia suami saya. Kami sudah bernikah pada November lalu secara rahsia di Narathiwat," beritahu Sosilawati jujur.
Tidak ada angin, tidak ada hujan, ribut petir bagai, tiba-tiba taukeh NV ini mengesahkan yang dia sudah bernikah lagi, siap tunjuk surat nikah yang sah.
Kalau benar bagai dikata, tahniahlah Joyah ucapkan kepada kakak kita yang mukanya sentiasa 'bergetah' ini ya. Semoga jodoh kali ini berkekalan sehingga ke hujung usia. Joyah dapat tahu lelaki yang juga ahli perniagaan yang agak berjaya itu sebenarnya bekas 'kekasih' lama Sosilawati.
Sayangnya dulu mereka tidak berjodohan. Bila kedua-duanya sudah kembali solo, cinta kembali berputik dan tak mahu tunggu lama-lama, mereka terus menikah. Tak kisahlah dalam negeri ke luar negeri ke, janji 'halal' di sisi agama.
Dalam sibuk orang duduk bercakap tentang Sosilawati, Joyah tak melupakan bekas suaminya, abang hitam manis yang kacak, Nash. Agaknya apakah ucapan yang mahu disampaikan oleh Nash kepada bekas isterinya atas pernikahan ini?

Wanita OKU ditahan khalwat

Wanita OKU ditahan khalwat

MELAKA 4 Jan. - ''Kami merancang hendak berkahwin dalam masa terdekat tapi kami masih lagi berbincang.''
Itu kata-kata seorang wanita orang kurang upaya (OKU) yang ditahan berkhalwat dalam operasi bersepadu di Jalan Plaza Mahkota, Banda Hilir di sini malam semalam.
Wanita berusia 26 tahun bersama pasangannya berusia 30 tahun dicekup oleh Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) selepas disyaki berkhalwat dalam serbuan di sebuah rumah kedai tiga tingkat yang dijadikan sebagai bilik sewa.
Sewaktu pintu bilik sewa di tingkat satu itu dibuka, wanita berusia 26 tahun berpakaian baju tidur nipis dan pasangannya pula berseluar pendek didapati duduk berdua-duaan.
Wanita yang berasal dari Cheras, Kuala Lumpur itu mendakwa, dia mengalami kecacatan lumpuh separuh badan sejak kecil dan menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Malah ketika ditahan wanita itu tanpa berselindung mengakui telah bersekedudukan dengan pasangannya sejak tahun lalu.
''Memang kami merancang untuk berkahwin dalam tempoh terdekat ini," kata wanita itu.
Mereka adalah antara tiga pasangan yang berjaya dicekup oleh JAIM dalam operasi tersebut melibatkan beberapa agensi kerajaan lain.
Operasi Bersepadu yang bermula pada pukul 10 malam hingga pukul 2 pagi itu dijalankan dengan kerjasama Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Imigresen, Polis, Rela dan Bomba.
Dalam Ops Bersepadu sama, sepasang warga Indonesia ditahan selepas disyaki menjalankan kegiatan tidak bermoral dan cuba melakukan hubungan seks di sebuah bilik sewa di dalam sebuah restoran di Jalan Thambi Abdullah.
Pegawai Inspektorat dan Pembangunan Komuniti, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Mohd. Derus Tompang berkata, operasi bertujuan membanteras kegiatan maksiat, pendatang tanpa izin dan premis yang menjalankan operasi tanpa lesen sah.
''Tumpuan operasi di kawasan bilik sewa di Jalan Plaza Mahkota dan pusat-pusat hiburan di sekitar Banda Hilir," katanya ketika ditemui selepas operasi itu berakhir malam semalam.
Dalam operasi tersebut, MBMB mengeluarkan kompaun sebanyak RM10,000 ke atas sebuah pusat hiburan mewah di Taman Kota Laksamana kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen yang sah.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Lagi wanita ditahan minum arak di Pahang


Lagi wanita ditahan minum arak di Pahang

KUANTAN 7 Feb. - Dua wanita antara 15 orang Islam yang ditahan kerana meminum arak dalam operasi Ops Taubat Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) di beberapa buah pusat hiburan dan hotel di sekitar bandar ini, tengah malam tadi.
Dalam operasi selama dua jam bermula pukul 12 tengah malam itu, enam pasangan turut ditahan kerana disyaki berkhalwat.
Ketua Penguat Kuasa Agama JAIP, Ahmad Raffli Ab. Malek berkata, kesemua yang ditahan berusia antara 20 dan 55 tahun dengan sebahagian daripada mereka berasal dari luar bandar ini.
Katanya, semua yang ditahan kerana minum arak akan didakwa di Mahkamah Syariah di bawah Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 (Pindaan 1987).
"Sabit kesalahan, boleh didenda sehingga RM3,000 atau tiga tahun penjara dan enam kali sebatan atau kedua-duanya sekali," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.
Operasi itu disertai 40 kakitangan JAIP dengan kerjasama polis.
Ahmad Raffli menambah, bagi kesalahan berkhalwat, mereka akan didakwa mengikut Seksyen 145 (1) dan (2) enakmen sama dan jika sabit kesalahan, boleh didenda sehingga RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali.
"Semua pesalah khalwat dibebaskan dengan jaminan RM1,000 bagi setiap seorang dengan seorang penjamin.
"Bagi pesalah minum arak pula, masing-masing dibebaskan dengan jaminan RM3,000 disertai dua penjamin bagi setiap pesalah," katanya.
Tambahnya, pihaknya akan meneruskan operasi seumpama itu bagi membendung gejala tidak bermoral tersebut daripada terus berleluasa.
Beliau menyifatkan penahanan tersebut sebagai memalukan kerana hampir semua pelanggan di pusat-pusat hiburan terbabit adalah orang Islam.
"Hanya dua tiga orang sahaja yang bukan beragama Islam. Perbuatan mereka ini memang keterlaluan, mahukan keseronokan hingga lupa batas-batas agama," katanya.
============================

Anggota tentera 'sawan' kena cekup

Anggota tentera 'sawan' kena cekup

KUANTAN 14 Feb. - Seorang anggota tentera sanggup 'berlakon' diserang sawan hingga keluar air liur ketika dicekup berkhalwat dengan isteri orang dalam Ops Valentine oleh Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) di sebuah hotel di sini awal pagi ini.
Dalam serbuan kira-kira pukul 6 pagi itu, anggota tentera berusia 28 tahun itu ditemui terbaring dan menggelupur di atas lantai seperti terkena sawan sebaik pintu bilik hotel yang disewa bersama seorang wanita diumpil polis.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama JAIP, Ahmad Rafflie Ab. Malik berkata, ketika serbuan, pasangan kekasih itu enggan bekerjasama membuka pintu bilik.
Selepas hampir sejam pintu diketuk, kata beliau, JAIP terpaksa meminta bantuan polis untuk mengopak pintu bilik berkenaan.
''Setelah mencuba beberapa kali, akhirnya polis berjaya mengopak pintu terbabit dengan menggunakan beberapa peralatan termasuk kuku kambing," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.
Menurut Ahmad Rafflie, tindakan lelaki terbabit yang berlakon seperti diserang sawan bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa, manakala pasangannya yang berumur 30 tahun, menyorok di bawah katil sambil menangis.
Ahmad Rafflie memberitahu, siasatan awal mendapati pasangan khalwat itu masing-masing masih mempunyai isteri dan suami.
Sementara itu, ketika di pejabat JAIP, difahamkan suami wanita terbabit mengamuk dan menerajang isterinya berikutan kejadian khalwat itu.
Terdahulu dalam serbuan tiga jam bermula pukul 6 pagi di beberapa hotel di sini, Ahmad Rafflie memberitahu, sebanyak 46 tangkapan dilakukan melibatkan khalwat, minum arak dan mendedahkan anggota tubuh di khalayak dalam operasi melibatkan 44 pegawai penguat kuasa JAIP.
Menurutnya, kebanyakan yang ditangkap berumur antara 16 dan 40 tahun.
Tambahnya, semua yang ditahan berkhalwat akan didakwa mengikut Seksyen 145(1) dan (2) Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 (pindaan 1987) dan sabit kesalahan boleh didenda RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Memahami manfaat hukuman sebat

Memahami manfaat hukuman sebat


Siri Forum Hadhari bertajuk, 'Undang-undang Islam dan Hukuman Sebat Wanita' dijayakan oleh Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia (MPWIM) di UKM, Bangi, Selangor baru-baru ini.


Tidak menghairankan jika ada yang masih menganggap betapa 'terkebelakangnya' hukuman rotan dalam perundangan syarie. Ini apabila mereka memahaminya sebagai hukuman yang amat mendera, meninggalkan kesan yang luka-luka dan lebih teruk dituduhnya, tujuan tiada lain, kecuali untuk menjatuhkan maruah terutamanya jika yang menerima hukuman tersebut wanita!
Alasannya, dalam kata wanita sebagai golongan yang lemah dan datangnya Islam itu, satu-satunya agama yang mengangkat martabat dan maruah wanita, jadi sesuaikah jika golongan ini dirotan?
Pelbagai polemik timbul mengenai pelaksanaan hukuman rotan ini dan setiap kali itulah juga atas dasar tanggungjawab untuk mempertahankan Islam daripada diperkotak katik. Pelbagai pihak mengambil inisiatif mengajak orang ramai berada dalam sebuah forum, seminar dan syarahan bagi sama-sama memahami mengenai hukuman ini dan undang-undang Islam secara keseluruhannya.
Ini sebagaimana yang dijayakan oleh Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia (MPWIM) di UKM, Bangi, Selangor baru-baru ini.
Mereka menganjurkan Siri Forum Hadhari bertajuk 'Undang-undang Islam dan Hukuman Sebat Wanita' yang dibarisi oleh barisan panel iaitu dua pensyarah Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Datin Dr. Paizah Ismail dan Prof. Madya Dr. Nasimah Hussin serta pensyarah dari Fakulti Undang-undang UKM, Dr. Jasri Jamal.
Forum yang dipengerusikan oleh pensyarah Fakulti Undang-undang, UKM, Prof. Madya Datin Noor Aziah Mohd. Awal berjaya menarik kehadiran hampir 200 peserta dari pelbagai latar belakang, termasuk individu, para pelajar dan wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Terdahulu, dalam ucapan perasmiannya, Pengarah Institut Islam Hadhari, Prof. Datuk Dr. Mohd. Yusuf Othman berkata, dewasa ini orang ramai terutamanya di kalangan bukan Islam begitu memerhatikan segala macam tribulasi dan mehnah mengenai Islam.
Malah pelaksanaan Islam di negara ini turut mendapat perhatian dunia lebih-lebih lagi mereka telah memberi pelbagai gambaran hukuman seperti ini yang dilaksanakan di negara-negara Islam yang lain.
"Namun adalah sangat penting bagi kita menjelaskan bahawa hukuman rotan syarie sama sekali tidak bertujuan menghina tetapi mempunyai perspektif yang tersendiri dan signifikan.
"Ini kerana lebih hina lagi perbuatan kesalahan yang telah mereka lakukan seperti minum arak, zina dan sebagainya itu," katanya.
Sebagai seorang yang berpengalaman luas di bidang undang-undang, Noor Aziah mengakui hakikat kelemahan wanita tetapi tidak timbul golongan tersebut teraniaya atau didiskriminasi apabila dirotan atas kesalahan yang mereka lakukan.
Sebagaimana yang ditegaskan oleh Dr. Paizah yang juga salah seorang Ahli Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan sejak 2004, bahawa hukuman rotan dalam undang-undang Islam adalah hukuman yang telah diperundangkan selepas melalui proses penggubalannya peringkat demi peringkat.
Dengan kata lain, hukuman tersebut tidak direka atau sengaja diada-adakan tanpa sebab musabab, jauh sekali menganiaya mana-mana pesalah, baik pesalah lelaki mahupun perempuan.
Beliau menarik perhatian apabila Islam membenarkan isteri yang nusus supaya dipukul oleh suami tetapi perlu difahami sepenuhnya tata cara untuk memukul isteri berkenaan.
"Adakah sehingga isteri cedera, luka berdarah-darah! Adakah dengan cara itu bertujuan mengajar atau hendak membunuh? Begitu juga hukuman rotan terhadap pesalah yang minum arak dan apa juga jenis kesalahan yang lainnya, adakah kita tidak mempunyai tata cara rotan kita sendiri bagi mencapai matlamat untuk mengajar, mendidik, menimbulkan keinsafan dan sebagainya.
"Dalam soal ini, sejauh mana para pesalah menjiwa sepenuhnya hukuman Islam amat memainkan peranan.
"Jika tidak dijiwai terutama tidak bertaubat nasuha, berat atau ringan sesuatu hukuman itu pastinya tidak meninggalkan sebarang kesan. Tetapi sekurang-kurangnya memberi pengajaran kepada umat Islam yang lainnya," katanya.
Sebelum itu beliau menarik perhatian pendengar dengan beberapa keunikan perkataan: "behe", "piak", "gode" dan "godam" iaitu istilah rotan dan pukul mengikut dialek Kelantan.
Berbanding jenayah syariah berbentuk hudud seperti berzina dan qazaf (tuduhan zina) yang jelas dinyatakan bentuk hukuman tersebut dalam al-Quran, kesalahan minum arak hanya disebut dalam bentuk larangan (al-Maidah, ayat 90)
"Benar, bentuk hukuman minum arak tidak dijelaskan dalam al-Quran tetapi Rasulullah telah menetapkan bagi kesalahan tersebut perlu dihukum sebanyak 40 kali rotan yang di zaman Rasulullah hukuman ini dilaksanakan.
"Malah di zaman Khalifah Ali bin Abi Talib beliau pernah menjatuhkan hukuman rotan ini sebanyak 100 kali terhadap seorang lelaki yang dengan sengaja minum arak. Iaitu 80 kali atas kesalahan minum arak dan 20 kali kerana sengaja minum arak di bulan Ramadan, bulan umat Islam berpuasa," jelasnya.
Ini bagi menjawab sesetengah pihak yang mempersoalkan justifikasi hukuman rotan terhadap pesalah minum arak kerana ia tidak disebut dalam al-Quran.
Tetapi kata Dr. Paizah, yang jelas arak hukumnya haram malah dikategorikan sebagai kesalahan dosa-dosa besar.
"Maka akan ada hukumannya yang mandatori, rigid iaitu hukum hudud bagi setiap pesalah yang meminum arak tanpa mengira lelaki atau perempuan," katanya.
Dr. Nasimah pula tegas dengan kenyataan hukuman rotan dan lain-lain aspek perundangan Islam itu tidak pernah diganggu oleh mana-mana pihak termasuk pihak British ketika menjajah Tanah Melayu dahulu.
Katanya, ini tentu menghairankan apabila sejak akhir-akhir ini ada pihak cuba menjadi 'juara' bagi menentang hukuman ini termasuk dari segelintir dari umat Islam itu sendiri.
"Jangan hanya kerana hukuman rotan terhadap pesalah wanita tidak ada peruntukannya dalam undang-undang sivil, maka hendak dipertikaikan perlaksanaan hukuman seperti itu dalam undang-undang syarie," katanya.
Namun yang menariknya, tidak semua kesalahan jenayah syarie termasuk arak akan berakhir dengan hukuman rotan.
"Ini seperti yang berlaku di Melaka, hukuman rotan hanya dijatuhkan atas kesalahan liwat kerana kesalahan meminum arak hanya akan dijatuhkan dengan hukuman rotan di empat negeri sahaja iaitu, Pahang, Kelantan, Kedah dan Perlis," jelasnya.
Semua ini berpunca daripada tiada keseragaman undang-undang syariah di negara ini.
Begitu pun apa juga bentuk kesalahan jenayah syarie itu termasuk bersekedudukan secara haram (zina), khalwat, liwat, muncikari (bapa ayam), musahaqah (lesbian), ajaran sesat, tidak menunaikan solat Jumaat, makan di khalayak ramai di bulan puasa, judi, tuduhan qazaf dan sebagainya, bentuk hukuman adalah sama.
Hukumannya adalah denda maksimum RM5,000, penjara tiga tahun atau sebatan atau rotan sebanyak enam kali.
Bentuk hukuman ini kemudiannya menjadi satu istilah dan fenomena menarik apabila perundangan Syariah di negara ini juga dikenali sebagai Undang-undang 536 (denda, penjara dan rotan).
"Yang sepatutnya menjadi persoalan mengenai kewajaran sama ada untuk mempertahankan undang-undang 536 ini atau perlu penambahbaikan atau lebih tepat ditambah hukuman-hukuman tersebut supaya ia lebih sifat 'mengajar'.
Menurut Dr. Nasimah, undang-undang 536 ini telah berusia 24 tahun dan ia tidak pernah disemak semula. Sedangkan masa berjalan dengan begitu pantas, hukuman tiga tahun mungkin tidak begitu dirasai, denda RM5,000 semua orang mampu untuk membayarnya.
"Jika tidak pun hukuman rotan perlu lebih mendapat keutamaan kerana dengan hukuman itu, seseorang pesalah tidaklah sampai hilang pekerjaan atau berpisah dengan kaum keluarga," katanya.
Hampir kesemua panel forum itu percaya bahawa hukum-hukum syarie sekali pun rigid tetapi penuh dengan pelbagai fleksibiliti terutama dalam aspek pelaksanaannya.
Ini sebagaimana yang berlaku di zaman Rasulullah apabila seorang wanita menemui baginda mengaku berzina sehingga mengandung.
Rasulullah tidak menjalankan hukuman terhadapnya sehingga wanita itu selamat bersalin dan tamat tempoh menyusukan anak barulah hukuman dilaksanakan.
Namun seperti yang ditegaskan oleh Dr. Jasri pula, dalam undang-undang syarie wanita mahupun lelaki yang berusia lebih 50 tahun tetap perlu menjalani hukuman rotan dengan pihak berkuasa dapat mengenalpasti pelaksanaan yang terbaik.
"Termasuk boleh ditangguh pelaksanaan rotan jika pegawai perubatan memperakui disebabkan umur tua, keuzuran atau apa-apa sahaja masalah yang dirujuk kepada mahkamah untuk memerintahkan hukuman mengikut cara yang munasabah.
"Tetapi yang jelas dari aspek cara sebatan itu disebutkan seperti di Wilayah Persekutuan adalah dalam kekuatan yang sederhana, sebatan ke seluruh tubuh kecuali muka, kepala, perut, dada atau bahagian sulit, tanpa mengangkat tangan melebihi kepalanya, tidak melukakan kulit, pesalah lelaki dalam keadaan berdiri, duduk untuk pesalah perempuan," kata beliau.
Seharusnya kita dapat bersetuju hukuman rotan perlu mendapat keutamaan dari aspek keputusan mahkamah dan pelaksanaan hukuman.
Berbanding hukuman denda dan penjara, merotan mampu memberi kesan secara maksimum dalam aspek memberi pengajaran kepada para pesalah.
Malah seperti yang dinyatakan oleh Dr. Nasimah, rotan ini ada kebaikannya dalam aspek rawatan dan kesihatan bagi memulihkan aspek fizikal dan mental para pesalah.
"Terdapat klinik di Rusia yang menggunakan kaedah merotan kepada para pesakit apabila didapati pukulan-pukulan rotan terutama mengenai di bahagian pinggul dapat memulihkan apa juga masalah pesakit.
"Iaitu dari masalah tekanan perasaan sehinggalah soal ketagihan alkohol kerana didapati merotan itu dapat merembeskan lebih banyak hormon keseimbangan badan," katanya.
Namun apa yang didedahkan oleh Noor Aziah berdasarkan kajian adalah lebih membimbangkan lagi.
Ini apabila seramai 4,000 responden beragama Islam di negara ini yang berumur 15 tahun hingga 40 tahun, 80 peratus daripada mereka mengaku minum arak.
Walaupun keputusan kajian itu belum lagi rasmi, namun dikatakan fenomena minum arak merupakan gejala yang benar-benar melanda umat Islam di negara ini.
Di saat itu, sebagaimana istilah popular ada menyebut kerosakan telah berlaku! Maka berapa banyak kos sosial diperlukan untuk memulihkan ketagihan itu?

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hari ini menafikan anggota penguat kuasanya terlibat dalam serbuan khalwat yang menyebabkan seorang pelajar lelaki terbunuh akibat tergelincir dari tingkat lima Pangsapuri Jelutong,

JAIS nafi anggotanya terlibat

SHAH ALAM 25 April - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hari ini menafikan anggota penguat kuasanya terlibat dalam serbuan khalwat yang menyebabkan seorang pelajar lelaki terbunuh akibat tergelincir dari tingkat lima Pangsapuri Jelutong, Selayang Heights dekat sini semalam.
Pegawai Perhubungan Awam JAIS, Nurhamizah Othman berkata, ketika serbuan yang turut disertai pihak polis itu dilakukan, anggota penguat kuasa jabatan itu tidak berada di tempat kejadian.
Beliau berkata, pihak yang membuat serbuan ketika itu ialah ahli jawatankuasa masjid di kawasan tersebut.
''Jadi, saya ingin menjelaskan tiada anggota penguat kuasa JAIS terlibat semasa serbuan itu. Pihak JAIS hanya menerima laporan serbuan yang diserahkan oleh ahli jawatankuasa masjid yang diberi kad kuasa untuk melakukan serbuan khalwat bersama pihak polis," kata beliau ketika dihubungi di sini petang ini.
Mengenai pelajar wanita yang merupakan kekasih mangsa beliau berkata, pihaknya akan mengambil tindakan terhadapnya selepas ini atas kesalahan berkhalwat.
Dalam kejadian pukul 1.40 pagi semalam, seorang pelajar lelaki sebuah kolej terbunuh selepas tergelincir dari tingkat lima Pangsapuri Jelutong ketika cuba menyembunyikan diri daripada serbuan itu.
Terdahulu pelajar lelaki terbabit dipercayai bermalam di rumah teman wanitanya yang juga rakan kolejnya tanpa menyedari perbuatan mereka diketahui jiran-jiran yang kemudiannya membuat aduan kepada pihak masjid.
Pelajar lelaki terbabit meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian dan mayatnya ditemui di dalam longkang.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

HPV dalam STD

HPV dalam STD


BERMACAM langkah pencegahan tersedia bagi melindungi dari kehamilan tetapi tidak banyak yang berkesan sepenuhnya mengelakkan jangkitan kuman, terutamanya di kalangan individu yang sering bertukar pasangan.


SEKS! Satu perkataan tabu, janggal dan sukar dibincangkan kebanyakan rakyat negara ini. Namun, realitinya tetap sama. Kebanyakan anak muda di Malaysia kini mengambil jalan mudah 'mencuba sebelum memahami' sehinggakan begitu banyak kes anak luar nikah, pembuangan bayi mahupun ditangkap khalwat.
Bukan sahaja yang muda, yang sudah berusia juga ada ditangkap berkhalwat mahupun melanggan pelacur, pondan mahupun 'spesies' manusia songsang lain yang memberi perkhidmatan 'istimewa'. Oleh itu, tidak begitu menghairankan penyakit sebaran hubungan seks (STD) terusa menular di kalangan penduduk negara ini.
STD
Penyakit yang disebarkan melalui hubungan seks (STD) melibatkan bermacam jenis kuman. Jangkitan bakteria (gonorea, siflis), fungus, virus (HIV, HPV, HBV, EBV, CMV, herpes), parasit (skabies) mahupun protozoa (Trichomoniasis).
Hakikatnya, kebanyakan kuman berkenaan lebih biasa ditemui di Barat dan dibawa masuk ke rantau ini melalui darah atau hubungan bebas dengan penduduk tempatan.
Hakikat bahawa kuman terbabit masih menular dan semakin banyak dalam komuniti masyarakat Timur menunjukkan gaya hidup bebas di Barat telah menapak di sini. HIV juga dikesan di negara Malaysia tidak lama selepas penemuannya di Eropah sekitar pertengahan 1980-an, mungkin menandakan tahap keterbukaan di Malaysia tidak begitu jauh bezanya dengan negara Barat.
Dalam konteks keterbukaan seksual, sudah tentu melibatkan hubungan seks bebas, 'fikiran terbuka' mahupun kerap bertukar pasangan. Amalan 'one night stand' di Barat sebenarnya telah lama diamalkan di Malaysia, cuma tidak begitu didedahkan dan kurang diketahui kebanyakan rakyat Malaysia.
Bergantung kepada peribadi individu dan ketebalan kepercayaan agama mereka serta faktor persekitaran, isu hubungan seks bebas mungkin sesuatu yang biasa dan dianggap remeh berbanding jenayah, isu ekonomi mahupun keselamatan negara.
Namun, ramai yang tidak menyedari bahawa hampir setiap bentuk tingkah laku seksual kini dikesan membawa risiko STD. Di kalangan anak muda yang mencapai kemuncak hormon perkembangan seksual, aktiviti 'ringan-ringan' menjadi permulaan ke arah hubungan bebas, terutamanya tanpa pemantauan ibu bapa.
Virus Epstein-Barr (EBV) dan Cytomegalovirus (CMV) menjadi contoh virus terawal yang disebarkan dengan mudah melalui air liur. EBV menyebabkan penyakit Mononukleosis yang juga dikenali sebagai penyakit ciuman. Sentuhan antara kulit pula dengan mudah menyebarkan fungus (kulat), bakteria dan parasit, terutamanya di sekitar kemaluan.
Di peringkat hubungan seks, sudah pasti begitu banyak penyakit yang boleh dan dengan mudah disebarkan antara pasangan. Bagi anak muda, tindakan melulu tanpa berfikir panjang ini mungkin dihukum seumur hidup - mandul, kanser mahupun AIDS.
Balasan
Ramai yang mengaitkan kemunculan HIV/AIDS sebagai satu balasan terhadap mereka yang hidup secara rakus, semata-mata untuk keseronokan. Namun, selepas penemuan ubat yang dapat mengawal perkembangan virus HIV, dan terbaru vaksin yang dapat memberi sedikit perlindungan terhadap virus tersebut telah memberi peluang kedua kepada mereka yang 'terkena'.
Walaupun belum ada vaksin yang berkesan sepenuhnya terhadap HIV mahupun rawatan yang dapat memulihkan semula dari jangkitannya, penemuan-penemuan baru memberi peluang mereka yang dijangkiti HIV menjalani hidup yang normal.
Selepas pandemik AIDS, satu lagi bentuk 'balasan' muncul di mana Virus Papilloma Manusia (HPV) yang telah lama wujud dibuktikan mampu menyebabkan kanser. Dr. Harald zur Hausen dari Institut Penyelidikan Kanser Jerman di Heidelberg menerima Hadiah Nobel Fisiologi dan Perubatan 2008 atas penemuan kaitan kanser serviks (pangkal rahim) dan HPV.
Dari 130 jenis virus HPV, 12 jenis didapati meningkatkan risiko kanser serviks, kanser kedua tertinggi di negara ini. Bukan sahaja serviks, jenis virus HPV terbabit turut meningkatkan risiko kanser vulva, vagina dan anus (dubur) pada wanita serta kanser zakar dan anus bagi lelaki. HPV jenis ke-16 yang merupakan antara punca utama kanser didapati turut membawa risiko kanser oral, kepala dan leher. Kebanyakan daripada mereka yang dijangkiti juga tidak menyedarinya, terutamanya jika tidak menunjukkan sebarang gejala awal jangkitan.
Untuk itu, golongan wanita disarankan menjalani ujian pap smear secara berkala bagi mengesan sebarang perubahan dalam sistem peranakan, terutamanya kanser di peringkat awal. Terbaru, pengeluaran vaksin untuk HPV jenis ke-16 dan 18 mula mendapat perhatian. Dua jenis virus HPV ini dikatakan menjadi punca 70 peratus kanser serviks dan berisiko tinggi untuk kanser-kanser lain. Memandangkan kanser serviks kini menjadi antara kanser yang boleh dicegah, Kementerian Kesihatan Malaysia minggu ini mengumumkan penambahan vaksin HPV dalam program imunisasi untuk gadis remaja di Malaysia bermula 2010.
Kontroversi
Di awal kajian untuk mencegah dan merawat HIV/AIDS mula dijalankan, terdapat segolongan individu yang menentang kerana khuatir 'bala' yang diturunkan itu tidak lagi ditakuti dan ramai kembali mengamalkan gaya hidup terbuka dan bebas. Dengan kemunculan vaksin HPV, perkara sama kini berulang. Terdapat golongan yang menentang penggunaannya atas kebimbangan serupa, terutamanya bagi umat Islam yang khuatir semakin ramai remaja dan gadis terjebak dalam hidup seks bebas.
Dari segi kos rawatan, tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia memberikan vaksin HPV dijangka dapat menjimatkan kos rawatan kanser serviks yang dua kali ganda lebih tinggi dari keseluruhan kos program vaksin HPV. Selain itu, langkah mencegah sememangnya perlu menjadi pilihan dari merawat.
Walaupun vaksin ini diharapkan dapat mengurangkan sekitar 70 peratus kes kanser serviks, golongan wanita tetap digalakkan menjalani ujian pap smear secara berkala untuk mengesan sebarang masalah dari peringkat awal.
Dalam temuramah bersama Sir David Philip Lane, antara individu yang menemui Protein 53 (p53) yang menghalang pertumbuhan sel kanser di Petaling Jaya sebelum ini, beliau sendiri membangkitkan kebimbangan mengenai pemberian vaksin HPV.
"Saya memahami mengapa pemberian vaksin HPV membimbangkan sesetengah pihak di Malaysia.
"Bukan atas faktor keberkesanannya tetapi kesannya terhadap aktiviti seksual anak remaja. Saya sendiri mempunyai anak perempuan di peringkat usia ini," katanya.
Walaupun di Barat lebih terbuka, beliau mengakui terpaksa menilai antara baik dan buruknya keperluan memberi vaksin HPV, terutamanya kepada golongan remaja dengan 'kepala dipenuhi hormon'.
Sebenarnya, antara melakukan aktiviti seksual atau tidak terletak di tangan individu dan amat sukar untuk menghalang pilihan yang dibuat mereka. Apa yang perlu ditekankan adalah melindungi mereka dari sebarang musibah di kemudian hari, jika mereka tetap melakukan 'kesilapan' di peringkat awal hidup.
Seks menjadi cara utama virus HPV dan bermacam kuman lain merebak, terutamanya di kalangan golongan muda kini. Sama ada akibat pilihan peribadi, tekanan rakan sebaya, desakan pasangan, terlanjur atau tanpa kerelaan, perlindungan dari kanser serviks menjadi hak semua gadis dan wanita.
Semestinya isu seks bebas di kalangan remaja perlu ditangani dengan segera tetapi tidak bermakna perlindungan terhadap sebarang penyakit STD perlu diabaikan. STD bukan hanya sebagai bala dan hukuman sebaliknya menjadi pengajaran kepada mereka yang menghidapinya supaya mengubah gaya hidup mereka. Jika mereka yang ingin berubah ini dibiarkan tanpa perlindungan dan rawatan, maka sia-sialah sebarang keinsafan yang timbul.
Tambahan pula, aplikasi vaksin seperti HPV mahupun vaksin dan rawatan penyakit STD lain dapat melindungi mereka yang tidak berdosa. Mangsa rogol, isteri yang suaminya curang mahupun anak dalam kandungan ibu - bukankah mereka perlu dilindungi?
Secara peribadi, segala penentangan terhadap langkah pencegahan mahupun rawatan perlu dialihkan kepada usaha sesetengah pihak yang dilihat cuba melalikan (desensitize) masyarakat umum terhadap hubungan zina serta anak luar nikah atas dasar hak asasi dan kesamarataan hak individu melalui hiburan, fahaman songsang dan juga manipulasi undang-undang sivil ke atas hukum-hukum agama.
Tiada agama yang menghalalkan gaya hidup bebas atau songsang (gay, lesbian, pondan). Namun, dalam konteks berbilang bangsa, agama dan fahaman di negara ini, langkah pencegahan penyakit perlu ditekankan tanpa mengira latar belakang. Apa jua pilihan peribadi yang diambil, perlu dipastikan masa depan mereka tidak musnah, terutamanya golongan muda yang masih belajar membuat pilihan menggunakan akal dan bukannya mengikut kata hati.